Rafizi akhirnya dedah niat sebenar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR

 Rafizi akhirnya dedah niat sebenar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR


Calon Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menegaskan kepulangannya ke arena politik adalah untuk membantu parti memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun berdepan pelbagai halangan seperti kesuntukan masa dan membina naratif positif terhadap rakyat.

Dalam ucaptama sempena siri jelajah kempen ‘Yakini Rakyat’ yang diadakan di sebuah hotel di sini, beliau mahu anggota parti terus menumpukan fokus memperolehi sebanyak kerusi parlimen di negeri ini, seperti mana yang dilakukan pada PRU-14 lalu.

“Kemenangan besar di Johor dengan tujuh kerusi parlimen dalam keadaan kerusi-kerusi seperti Sekijang, Segamat dan Ledang amat sukar untuk dimenangi, mampu dilakukan KEADILAN berbanding parti-parti lain menunjukkan KEADILAN mampu bangkit semula selepas pemilihan parti selesai kelak,” ujarnya.

Beliau turut mengimbau kembali pengkhianatan yang dilakukan memberi pengajaran kepada parti agar lebih berhati-hati dalam soal pemilihan calon bagi menghadapi PRU-15 kelak.

Mekanisme sedia ada katanya, sudah cukup untuk parti menang besar di Johor antara tujuh malah 10 kerusi parlimen di negeri ini walaupun hanya menang satu kerusi DUN iaitu Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Ia tidak mustahil dilakukan di seluruh negara dengan meletakkan syarat bahawa calon-calon pilihan raya adalah yang teruji, setia kepada perjuangan parti dan boleh bekerja bersama rakyat sama ada sebagai aktivis parti atau sudah menjadi wakil rakyat.

Hadir pada jelajah kempen berkenaan ialah calon Naib-Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin; calon Ketua Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail; calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Fahmi Zainol dan calon Timbalan Ketua AMK yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.

Yang turut hadir mewakili pemimpin KEADILAN negeri ialah Ahli Parlimen Ledang yang juga Pengerusi MPN KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Mengulas lanjut, beliau menyeru anggota parti agar segera mendaftar sebagai pengundi atas talian (PAT) bagi membolehkan anggota sendiri memilih pemimpin mereka yang benar-benar bekerja demi parti dan rakyat.

“Saya ulangi gesaan agar calon-calon yang bertanding bagi jawatan utama parti supaya menyatakan dengan jelas hala tuju dan perancangan parti memenangi PRU-15 yang mungkin diadakan dalam tempoh empat bulan dari sekarang,” tambahnya.

Terdahulu, seramai kira-kira 400 anggota parti mewakili 26 cabang keseluruhan di negeri ini hadir menyambut Rafizi dan pasukan kempennya yang tiba kira-kira jam 9.35 pagi walaupun terlewat sedikit kerana berlaku kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pagi tadi.

Bekas Naib Presiden KEADILAN bersama pasukan kempen beliau dijangka akan menyantuni anggota parti bagi Negeri Sembilan dan Melaka di Tampin sebentar pagi.

No comments: