1. Antara
kehebatan berbahasa ialah membuat perumpamaan kerana ia dapat menghidupkan
sesuatu makna dalam benak manusia dan mudah difahami dan kekal dalam ingatan
memori. Selain perumpamaan berbahasa, kreativiti seni lakaran, gambar atau
potret mampu menjelaskan seribu perkataan yang sukar dijelaskan.
2. Tular
sebuah potret melakarkan suasana dalam dewan Parlimen Malaysia yang ahlinya
dilukis terdiri dari spesis primat dan amfibia kecuali Speaker Dewan dan dua
pegawai bertugas. Walaupun secara satiranya ia adalah sebuah kritikan pedas
dari perspektif pengkarya seni lukisan, hakikatnya lukisan ini mahu
menggambarkan realiti seolah-olah institusi parlimen sudah bertukar menjadi
sidang para beruk dan katak-katak.
3. Saya
menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka walaupun saya tidak bersetuju
sikap melabel secara pukal ke atas semua ahli parlimen apatah lagi kemuliaan
dewan parlimen digambarkan begitu rupa. Setiap ahli parlimen mahupun para
pelawat ditetapkan untuk tunduk hormat sebelum duduk di kerusi masing-masing
sebagai memuliakan dewan. Saya tidak fikir kita berbuat demikian ketika
memasuki zoo atau kandang haiwan!
4. Ahli
Legaslatif adalah nama kepada tugas mulia yang diamanahkan, walaupun masyarakat
lebih selesa memanggil kami ahli parlimen atau Yb. Syarat untuk layak sebagai
ahli legaslatif bagi Dewan Rakyat ialah seseorang perlu memenangi kawasan
parlimen atau konstituensi yang ditandinginya dengan majoriti mudah. Keberadaan
mana-mana Ahli Parlimen dalam dewan yang mulia adalah mewakili kelebihan undi
yang diperolehinya secara demokrasi berpilihanraya yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan. Pengundinya yang akan 'menghukum' atau 'memberi
kredit' kepada wakil-wakil mereka berpandukan kepada prestasi masing-masing.
Menghukum semua ahli dewan rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak
keterlaluan wa imma atas piawaian sebuah satira. Hormatilah pilihan majoriti
para konstituen (pengundi) masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan
sebagai pengundi beruk dan kera!
5.
Sebagai seorang MP Muslim, saya turut protes satira politik ini kerana ia
melanggar etika dan adab berpandukan nilai-nilai dalam Al Quran dan Sunnah Nabi
kita s.a.w. Surah Hujurat ayat ke 11 jelas melarang mencemuh dan
merendah-rendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan
panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan). Malah mereka
yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat) dia disebut oleh Allah sebagai
orang yang zalim. Hadis Riwayat Muslim jelas menunjukkan antara sikap sombong
seseorang kerana dua perilakunya iaitu Menolak Kebenaran dan Merendah-rendahkan
manusia. Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang
Muslim.
6. Saya
mengakui perasaan kekecewaan rakyat tetapi kita harus adil dan bersifat
objektif seperti bertanya soalan lebih besar kepada orang politik yang
memainkan sentimen perkauman dan agama sempit, budaya jatuh menjatuhkan
sehingga mempermainkan mandat rakyat, fitnah-memfitnah serta tawar-menawar
pangkat dan kedudukan untuk lompat parti. Ini lebih bahaya kepada institusi
politik negara dan kestabilannya.
7. Di
sebalik semua ujian ini, kami Ahli Parlimen rentas blok dan parti berjaya
mendapat sokongan 2/3 demi kepentingan rakyat seperti undi 18, perjanjian
Malaysia untuk Sabah/Sarawak dan terakhir persetujuan bersama menggubal akta
lompat parti. Kami akur dengan titah YDPA yang menasihati dengan tegas perlunya
kestabilan politik. Saya tidak fikir beruk, kera dan monyet mahupun katak
sendiri mampu melakukan demikian. Rakyat boleh sahaja menilai melalui sesi
persidangan yang dibuat secara langsung, bukan semua MP seperti ditanggap.
Media pula suka menonjolkan berita sensasi bertikam lidah tetapi jarang
melaporkan ide-ide bernas dan perbahasan yang beradab sebagai bahan berita.
Saya
menghargai hak berkarya sebagaimana saya juga mengharapkan hak untuk
mempertahankan diri dihormati apatah lagi apabila salah satu cabang
pemerintahan iaitu Legaslatif diperlekehkan. Ini bukan soal siapa makan cili
terasa pedas tetapi satira ini umpama kata orang tua-tua kita "bagaimana
tidak hujan, katak bentung dalam telaga berteriak selalu"
YB DS Dr.
Mujahid Yusof Rawa
Ahli
Parlimen Manusia Parit Buntar
13 April 2022