Empat kegagalan tadbir urus kewangan, Anwar gesa adakan sidang Parlimen khas



Terdapat 4 isu kelemahan tadbir urus kewangan yang kesannya berpotensi mengulangi skala kerugian akibat skandal 1Malaysia Development Berhad sekiranya tidak ditangani dengan rapi oleh kerajaan.



Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jangan menggunakan alasan memorandum kerjasama (MoU) Kerajaan Persekutuan - Pakatan Harapan untuk menyembunyikan skadal berkenaan.



Katanya, penggunaan wang rakyat secara tidak bijak akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar pada kemudian hari.



"Saya menggesa agar penjelasan segera diberikan oleh Perdana Menteri terkait beberapa projek nasional yang perinciannya tidak dijelaskan kepada negara dan rakyat.



"Usah jadikan Memorandum Persefahaman sebagai alasan untuk diinjak prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.



"Kerajaan perlu segera tangani beberapa isu besar antaranya mengenai pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus kepada rakyat," katanya.



Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, kelemahan pengurisan atau skandal kewangan tersebut masih belum parah dan boleh diperbaiki jika ditangani segera

Justeru, beliau mencadangkan satu sidang khas Parlimen dipanggil dalam masa terdekat bagi membahaskan kesemua salah urus kewangan terbabit.



"Perkara ini ternyata membimbangkan dan saya desak supaya diberi perhatian segera sebelum ia kian parah dan berterusan.



"Jika dahulu 1MDB, kini MRT, DNB, MySejahtera dan Sapura, semua isu ini perlu segera dijelaskan kerajaan kepada rakyat.



"Jadi saya usulkan agar diadakan sidang Parlimen dan diperuntukan beberapa hari untuk membahaskan isu tatakelola kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus.



"Jangan izinkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terus berleluasa," katanya lagi.