Bubar Parlimen: Umno tak mahu dikekang MoU, kata Isham
PETALING JAYA: Umno tidak mahu perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan menjadi kekangan sekiranya PRU15 perlu disegerakan.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, berkata ia berikutan Umno tidak pernah bersetuju untuk MoU itu ditandatangani sebelum ini dan tidak mahu ia dilanjutkan.
“Jadi itu antara kerajaan dengan PH, bukannya Umno dengan PH. Umno sudah membuat keputusan tidak akan melanjutkan MoU dan tidak menyokong kerajaan jika mahu MoU dilanjutkan.
“Kita juga tidak terkekang apabila mahu menyarankan kepada perdana menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Isham turut membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang meminta Umno tidak masuk campur dalam MoU berkenaan.
Menurutnya, perlu diingatkan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah daripada Umno.
“Beliau adalah ‘parti man’. Saya ingat ‘parti man’ biasanya akan ‘consult’ (berbincang) dengan kami (Umno) dulu.
“Saya percaya beliau akan berbuat begitu sebab dia ‘parti man’. Jadi apa yang dikatakan Loke untuk tidak masuk campur itu, saya rasa dia tidak faham mengenai MoU ini antara kerajaan dengan PH,” katanya.
Pada Sabtu, Loke memaklumkan bahawa MoU itu adalah persefahaman antara PH dengan kerajaan Persekutuan dan bukan dengan pucuk pimpinan Umno.
Katanya, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk tidak meneruskan MoU dengan PH selepas 31 Julai ini adalah urusan Ismail dengan partinya.