Pembangunan Kg Sg Baru: Pampasan sepatutnya lebih tinggi

 





Pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan pengusiran paksa di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur sepatutnya lebih tinggi memandangkan mereka perlu membeli rumah di sekitar tempat berkerja sekarang.



Setiausaha Otai Reformasi 1998, Razak Ismail berkata, dengan pampasan lingkungan RM200,000 - RM300,000 tiada rumah yang boleh dibeli di sekitar Kuala Lumpur, melainkan penduduk terpaksa berpindah ke kampung.



"Kita dimaklumkan pampasan tak standard, ada yang dapat RM198,000 hingga RM300,000. Jadi kita merasakan ada masalah di sini.



"Rumah flat ada dua jenis, satu bilik dan dua bilik. Kita rasakan pemaju atau DBKL tak berlaku adil beri pampasan. Ada yang telah mengosongkan flat, dan mereka pindah rumah transit di Kerinchi, ada pindah keluar (menyewa)," katanya dalam sidang media petang semalam.



Katanya, Otai Reformis akan terus mempertahankan penduduk apabila tarikh berpindah yang ditetapkan kerajaan telah dilepasi pada Julai ini.



"Otai dan kawan kawan akan pastikan kami berada di sini masa habis temoh 42 hari itu, kita nak tengok reaksi kerajaan. Otai akan tetap bersama penduduk Sg Baru mempertahankan hak mereka. Kecuali kerajaan beri pampasan sewajarnya kepada penduduk.



"Bukan mudah nak dapat rumah di tengah bandar," katanya.



Sementara itu, ahli jawatankuasa penduduk Kampung Sg Baru, Anwar Ahmad berkata, beliau telah mendapat cek dan perlu berpindah.



Namun, katanya pemaju tidak menawarkan rumah. Dengan harga rumah di Kuala Lumpur di atas RM500,000 beliau tidak tahu ke mana mahu pergi.



"Saya menetap di sini daripada umur 3 tahun. Sekarang saya dah ada 5 cucu. Saya bahagia di sini tak ada masalah. Kemudahan semua senang, hutang tak ada, tak kan saya kena pindah kemudian nak berhutang lagi.



"Saya dapat cek RM244,000. Bornag K (kosongkan premis) belum lagi. Tetapi tak tahu nak duduk di mana.



"Tak ada dijanji untuk dapat rumah," katanya.



Sehubungan itu, Razak berharap agar kerajaan membela penduduk dan Menteri Wilayah mengadakan sesi rundingan baharu antara penduduk dan pemaju.

 


No comments: