Perangai ‘beruk’ dapat ‘pemimpin beruk’

 

Belum pun keputusan rasmi PRN Johor diumumkan dengan rasminya malam Ahad lalu, sudah tersebar mesej di alam siber: “15 calon PAS hilang deposit…’Nak ketawa takut dosa'”.

Di segi fakta mesej itu tidak tepat. PAS sebenarnya menang satu daripada 15 kerusi yang ditandinginya. Namun umum sedar ini sesuatu yang sinis dan seolah-olah mengejek.

Ia juga mungkin sindiran nakal dan provokatif; seolah-olah mencebikkan bibir terhadap caragaya pembabitan politik PAS.

Memang sejak mula PAS kelihatan goyah pendirian dan fokus dalam menyusun pendekatan dan strategi politik dalam PRN itu. Paling nyata ialah komitmennya pada kerangka kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Umno.

Maka sejak rundingan awal lagi PAS sudah tutup pintu hatinya mengenai pembahagian kerusi yang bakal ditandinginya. Umno tawarkan empat kerusi sahaja walhal PAS mahu bertanding semua kerusi yang Umno kalah dalam PRU 2018.

Maka PAS lebih selesa berada dalam ribaan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu pimpinan Mahiaddin Yassin yang bersetuju PAS bertanding 15 kerusi.

Kolaborasi PAS-Bersatu kalah teruk. PAS menang satu kerusi dan PN tiga. Sebaliknya, Umno dan sekutu Barisan Nasional menawan 40 kerusi.

Yang agak pelik pada mata umum ialah perangai politik PAS sebelum dan apabila kecundang teruk. Yang dipersalahkannya ialah tahap kefahaman politik Islam pengundi Johor.

Kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, masalah cetek kefahaman politik Islam mendorong mereka tidak mengundi PAS.

Agaknya tidak terlintas dalam fikiran Hadi bahawa bukan orang Johor yang cetek kefahaman soal politik Islam tetapi sebaliknya amalan politik PAS sendiri yang dangkal.

Maka bangkitlah anak Johor memprotes Hadi. Pengerusi Persatuan Veteran Umno, Othman Jais, berhujah jika Hadi mahu tahu tahap kefahaman politik Islam rakyat Johor, beliau cuma perlu merujuk pada rakan kongsi PAS, Mahiaddin Yassin, yang pernah menjadi Menteri Besar Johor dua penggal ketika bersama Umno.

Sementara Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, mengingatkan Hadi bahawa sistem pendidikan Islam di Johor adalah yang paling tersusun di Malaysia.

Sesungguhnya anak Johor melihat kenyataan Hadi itu satu kekeliruan Hadi atau sebenarnya beliau belum faham adab berpolitik, terutama politik Islam.

Maka umumnya rakyat Johor mendesak presiden PAS itu menarik balik kenyataannya dan mohon maaf pada rakyat Johor.

Setelah kalah teruk, Hadi memberi pengikut PAS untuk beristiqamah kerana, menurut beliau, “tidak mendapat sokongan daripada masyarakat yang tidak memahami.”

Sekali lagi, orang Melayu Johor cetek pengetahuan, kata Hadi.

Selain mencerminkan sikap “mata keranjang politik” PAS sendiri seperti apabila ia bekerjasama dengan parti Semangat 46 satu ketika dulu, ia juga mungkin membayangkan sikap ujub dan rasa monopoli ilmu mengenai adab politik Islam PAS.

Justeru timbul persoalan: adakah formula mudah untuk menyantuni dan hidup dalam persekitaran politik yang sentiasa dicurigai kotor kerana dilazimi politikus kurang akhlak?

Persoalan ini semakin kerap dan relevan dilontarkan dalam dunia siasah Malaysia yang semakin diwarnai langkah khianat-mengkhianati dan tipu daya.

Lazimnya yang dipersalahkan adalah orang politik yang sering tidak menepati janji dan sentiasa ghairah meneguhkan kuasa dan menghimpun harta benda dunia.

Jawabnya tentu ada.

“Di mana perangai kita (hok) macam beruk, kita dapat pemimpin berperangai beruk juga. Perangai kita macam lembu kita dapat pemimpin (hok) perangai macam lembu juga. Kita tak kan dapat pemimpin baik untuk diri kita (hok) perangai beruk. Takkan dapat,” kata Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah 1 Kuantan, Badlishah Alauddin.

Beliau berkata, keadaan politik akan terus memburuk jika rakyat tidak mahu ambil tahu soal kepemimpinan politik.

Sebab itu, tegasnya, rakyat wajar turut menyebarkan kefahaman bukan sahaja kepada orang politik tetapi rakyat keseluruhannya kerana soal kepimpinan negara sebahagian urusan agama.

“Allah akan kurniakan kepada kita kualiti kepemimpinan yang sesuai dengan kualiti rakyat,” katanya.

Badlishah merujuk risalah ulama tersohor, Abdul Malik Ramadan Al Jazairi, yang mengungkap konsep “kama takulu na yu wal la ‘alai kum” (sebagaimana kamu menjadi rakyat begitulah pemimpin yang kamu akan dapat).

Justeru tidak hairanlah jika ada rakyat yang mempersoalkan caragaya PAS berpolitik. Bila kalah dikatakan pengundi yang tidak faham aliran politik yang mahu diperjuangkan.

Bukankah PAS sebuah parti dakwah. Jika kecetekan kefahaman politik Islam, eloklah kerja dakwah tersusun disediakan untuk pengundi Johor.

Sebab itu juga agaknya penulis pojok dalam media sosial menahan diri daripada ketawa melihat prestasi PAS dalam PRN Johor: “ketawa takut dosa”. Maklumlah PAS pasti Islam. Tak gitu Tuan Guru?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: