BALIK PULAU: Lupakan hal pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan fokus dahulu kepada usaha memulihkan keadaan ekonomi negara, kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof.
Fadillah berkata beliau berpendapat mana-mana pihak dan parti politik perlu mengutamakan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan peribadi.
“Fokus kita sekarang adalah memulihkan ekonomi dan kewangan negara…sehingga kita mengukuhkan keadaan negara, rakyat berada dalam keadaan lebih baik, krisis kesihatan (pandemik Covid-19) ini dapat dijaga, baru kita lihat kepada PRU,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan Jambatan Titi Kerawang di sini hari ini.
Fadillah berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan pelbagai pihak untuk PRU15 diadakan tahun ini.
Beliau berkata langkah dan strategi yang perlu dilaksanakan pada masa ini adalah mengukuhkan kewangan supaya keadaan ekonomi negara menjadi lebih baik.
Namun, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata hal membabitkan PRU berkenaan adalah budi bicara dan bidang kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.