Penguatkuasa KKM gempur ceramah PH di Iskandar Putri

 

Penguatkuasa KKM gempur ceramah PH di Iskandar Putri


Beberapa individu yang hadir ke ceramah politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini terkejut apabila penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendekati mereka bagi memeriksa aplikasi MySejahtera.

Ia berikutan terdapat individu yang ‘terlupa’ mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama mengimbas QR Kod kehadiran di aplikasi MySejahtera.

Pengunjung ceramah Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di Pusat Khidmat Parti Amanah Negara (Amanah) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini, di sini yang tidak berbuat demikian dilihat segera bangun untuk mendaftar kehadiran.

Bagaimanapun, tiada pengunjung yang dikompaun dan kehadiran penguat kuasa untuk memperingatkan semua pihak agar mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pada 18 Februari lalu, penganjuran ceramah, syarahan atau kempen di PRN Johor dilaporkan dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang, lengkap vaksinasi dan penganjur memperoleh permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Aktiviti juga dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi 10 malam, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain serta memakai pelitup muka.

Semua yang hadir juga perlu mengimbas QR Kod MySejahtera atau mencatat kehadiran termasuk nama, nombor telefon, gejala dan masa di dalam buku disediakan.

No comments: