‘Alasan tak masuk akal’ terhadap siasatan 1MDB, Ahli Parlimen selar Mas Ermieyati

 


Wong Chen memberitahu Mas Ermieyati Samsudin bahawa tiada apa
 yang menghalang pihak berkuasa Malaysia daripada pergi ke Singapura
 untuk memeriksa dokumen asal atau daripada memperoleh salinan
 disahkan oleh notari Singapura.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang Wong Chen menyelar Timbalan Menteri Undang-undang Mas Ermieyati Samsudin dan menyifatkan sebagai ‘jahil’ dalam penjelasannya mengenai kelewatan siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Wong berkata Mas Ermieyati memberikan “alasan yang sama sekali tidak boleh diterima” apabila dia berkata penutupan sempadan Malaysia-Singapura menghalang pihak berkuasa daripada melengkapkan siasatan mereka ke atas Tawfiq Ayman, suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, berkaitan skandal itu.

“Perjalanan antara Malaysia dan Singapura menjadi lebih mudah di bawah program Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL),” katanya kepada FMT.

Mas Ermieyati berkata di Dewan Rakyat semalam polis sepatutnya meneruskan siasatan di Singapura tetapi tidak dapat berbuat demikian ekoran pintu sempadan ditutup.

Wong berkata tiada apa yang menghalang pihak berkuasa Malaysia daripada pergi ke Singapura untuk memeriksa dokumen asal atau memperoleh salinan yang disahkan oleh notari Singapura.

“Pada zaman ini, salinan digital dokumen yang disahkan dan selamat sepatutnya memadai bagi tujuan penyiasatan,” katanya. “Alasan yang dibuat untuk menjelaskan kurangnya tindakan oleh pihak berkuasa adalah tidak masuk akal.”

Pengarah eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, berkata Mas Ermieyati telah membuat “alasan yang menyedihkan”, pada masa sama menyatakan banyak inisiatif berlaku antara dua kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Malaysia mesti memperbaiki keadaan dan melaksanakan langkah-langkah dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang Rasuah dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa seperti yang diperuntukkan dalam konvensyen untuk menyelesaikan persoalan aliran wang yang berkaitan dengan Tawfiq,” katanya kepada FMT.

Pada Mac tahun lalu, polis dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap dana berkaitan 1MDB yang didakwa dipindahkan ke sebuah bank akaun milik Tawfiq di Singapura.

Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai transaksi yang mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.

Mereka yang dipetik sebagai berkata, dana disalurkan kepada syarikat itu daripada akaun dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa menjadi dalang di sebalik skandal kewangan 1MDB.

Zeti adalah Gabenor Bank Negara ketika itu.

No comments: