DESAK PRU AWAL, UMNO NAK TOLAK ISMAIL SABRI ATAU TOK MAT TERINGIN JADI PM?

 

Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan bahawa pihaknya akan terus mendesak PRU15 disegerakan tidak kira sama ada BN menang atau kalah dalam PRN Johor, pada hakikatnya lebih menyerlahkan niat UMNO mahu mengenepikan Ismail Sabri Yaakob lebih awal daripada kerusi Perdana Menterinya.

Dalam kenyataannya, Mohamad atau Tok Mat bagaimanapun dilihat menyelindungkan niat tersebut dengan mengatakan PRU awal itu adalah untuk mengembalikan kestabilan kepada negara sebagaimana sebelum 2018 dahulu.

“Kita akan tetap desak untuk PRU15 disegerakan tidak kisah sama ada menang besar atau tidak, tidak kisah jika kalah sekali pun.






“Kita hendak PRU disegerakan selepas PRN yang diadakan di Johor ini bukan kerana tamak kuasa, bukan untuk ganggu-gugat tetapi mahu kembalikan kestabilan politik.


“Hanya dengan kestabilan politik, keyakinan rakyat wujud, pelabur juga senang melabur di negara ini.

“Kesejahteraan dan kestabilan ini juga akan memberi peluang kepada pemimpin untuk terus memimpin dan menjaga rakyat bangunkan negara,” katanya.

Meski hujahnya untuk mengembalikan kestabilan politik, tetapi persoalan besarnya ialah mengapa UMNO masih mahu melakukan desakan juga jika sekiranya BN kalah sekali pun di Johor?

Bukankah jika kalah di Johor, ia lebih tidak menjamin BN mampu menang di peringkat Parlimen?

Di mana kestabilan yang diperjuangkan jika setelah kalah di Johor pun misalnya, tetapi mahu didesak lagi agar PRU15 disegerakan?

Selain itu, bukankah juga dengan mendesak mahu PRU diawalkan, ia bermakna UMNO mahu menolak Ismail Sabri lebih awal daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya?

Kenapa, terutama kalau sekiranya BN kalah di Johor, lebih masa tidak diberikan kepada Ismail Sabri untuk terus memimpin negara dan memperbaiki segala kelemahan yang ada agar UMNO yang sedang mengetuai kerajaan boleh lebih diterima serta diyakini lagi?

Untuk apa UMNO mahu sangat PRU15 disegerakan?

Tambahan lagi, bukankah kuasa untuk menentukan bila Parlimen hendak dibubar adalah hak serta prerogatif Perdana Menteri?

Kenapa UMNO mahu menceroboh hak serta prerogatif Perdana Menteri itu, di samping mahu menolaknya lebih awal?

Adakah tujuan terbesar di sebalik desakan mahu PRU15 diawalkan dan ia mesti diadakan sebelum pemilihan UMNO dilangsungkan kerana Tok Mat mahu meletakkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Ismail Sabri lantaran kedudukannya yang lebih tinggi dalam parti, sambil menyedari Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan di mahkamah dan Najib Razak yang sudah dijatuhi hukuman bersalah telah pun terkeluar daripada gelanggang persaingan?

 – ShahbudinHusin 02/03/2022.




No comments: