MoU wujudkan politik matang, bukan sokongan penuh PH kepada PM - Anwar


 

Memorandum kerjasama (MoU) di antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan tidak wajar terus diputarbelitkan oleh pihak pihak tertentu sebagai sokongan penuh PH kepada pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) dalam perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, MoU berkenaan ditandatangani adalah bertujuan mewujudkan politik matang dan mengutamakan pembelaan terhadap rakyat, bukannya memberi sokongan tanpa syarat kepada PM.

"Memorandum ini bermaksud untuk mematangkan suasana politik tetapi soal bantah (hal tidak baik) kita terus. Tak ada tolak ansur dalam soal pengurusan kerajaan, penyalahguaan kuasa, rasuah. Kita tanya terus kepada PM tanpa selindung sama ada di dewan, di luar dewan atau pun bersama dalam rundingan dengan PM dan rakan rakan lain.

Oleh itu saya tegaskan, kita perlu faham maksud memorandum ini bukan memberi laluan mudah kepada PM kekal berkuasa. Bukan perjanjian beri syarat nyata kepada PM akan kekal tanpa dicabar. Tidak ada peruntukan larang cabaran, bantahan atau penolakan kedudukan PM

"Tetapi selagi ada persefahaman dan perundingan, seperti mana yang diketahui Yang Dipertua Dewan, ada kemajuan besar dalam reformasi Parlimen. Jawatankuasa pilihan khas dan perundingan diteruskan (tambahbaik)," katanya.

Justeru, Anwar mengecam sikap ahli politik tertentu yang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Johor memberi gambaran seolah olah PH adalah sebahagian daripada kerajaan dengan termeterainya MoU berkenaan.

Katanya, dengan MoU pemimpin PH tetap mempersoalkan isu isu salah guna kuasa dan tidak pernah mengurangkan tahap desakan politik dalam hal berkenaan.

"Petang semalam saya, Kota Raja dan Bagan telah menemui PM. Apa yang dibincangkan? Pelan ketegasan melawan rasuah. Kepastian meluluskan Akta Anti Lompat Parti dan tanpa MoU ini adakah Undi 18 akan diluluskan?

"Ramai boleh claim mereka berjasa, saya tak nafikan. Tetapi kepastian dalam MoU ini yang menetapkan tanpa tolak ansur mesti diluluskan (dilaksanakan) sebelum hujung tahun lalu.

"Begitu juga pakej ransangan menangani masalah ekonomi dan Covid 19, RM45 bilion, RM10 bilion untuk rakyat miskin. Semua itu diluluskan dalam Belanjawan kerana ada rundingan. Politik kita harus matang. Tidak boleh sistem yang lama, bila orang tak bersetuju tempatnya di penjara. Kalau bersetuju diangkat dan diberi anugerah tambahan.

"Sikap dendam kesumat nafsu serakah politik ini harus dihentikan," katanya.

Oleh yang demikian, menurut Anwar lagi, pihak yang menerbitkan tohmahan harus sedar kebaikan MoU yang pertama kali terjadi dalam sejarah politik Malaysia itu.

Namun katanya, bukan semua yang tercatat dalam MoU dapat direalisasikan tetapi sebahagian besarnya telah pun tercapai dan PH tidak perlu dipersoalkan kerana terbukti kerjasama itu telah membawa kebaikan kepada rakyat.

 

No comments: