Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tiba tiba 'meletup' semula apabila didedahkan oleh bekas pegawai perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner berkaitan penjanaan kewangan melalui bon, komisyen dan mudahnya pemindahan wang melepasi kawalan Bank Negara Malaysia (BNM) amat mengejutkan rakyat.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan titah Yang diPertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi mempersoalkan cakap cakap politik yang tidak mahu isu 1MDB diteruskan atau dibahaskan.
Katanya, isu 1MDB itu belum lagi menjadi teks sejarah, masih ada perbicaraan dan juga pendedahan fakta baharu di mahkamah luar negara yang perlu diketahui atau diambil tindakan oleh pemerintah Malaysia.
"Ada rakan di sebelah sana kata Pakatan Harapan (PH) tak ada modal lain asyik 1MDB sahaja. Tetapi 1MDB ini bukan cerita sejarah ia berterusan, sebab ini fakta baru dikemukakan di mahkamah New York (Amerika Syarikat (AS)). Bila kita teliti pembongkaran itu maka harus mencuit perasaan kita dan menggesa rakyat menolak.
"Mustahil isu 1MDB ini berlaku jika tidak ada kerusakan dalam seluruh sistem.
"Kementerian Kewangan ikut pengalaman saya amat teliti dan selalu memberi nasihat tidak bersetuju kalau dianggap pelanggaran hukum," katanya tetapi mendakwa kali ini pegawai tinggi di kementerian itu 'bersekongkol' pula dengan pemerintah untuk memudahkan berlakunya skandal 1MDB.
Menurut Anwar lagi, 3 bon yang didedahkan oleh Leissner diterbitkan oleh pentadbiran Najib Razak, bon projek Magnolia, bon projek Maximus, bon projek Catalaise yang jumlah anggaran aliran dana 1MDB disahkan sekitar AS$4.5 atau RM18.88 bilion belum pernah didengar sebelum ini.
Begitu juga pertemuan Pengerusi Goldman Sachs, Lloyd Craig Blankfein dan bekas PM Najib Razak untuk urusan penerbitan bon berkenaan tidak diketahui dalam perbicaraan di Malaysia.
Anwar juga mempersoalkan, bagaimana urusan berkaitan kewangan 1MDB dan membawa wang keluar negara tidak diawasi oleh BNM dan diambil tindakan pada waktu ianya berlaku.
Begitu juga dakwaan ke atas suami bekas Gabenor BNM yang didakwa melakukan urusan kewangan rentas Malaysia - Singapura dalam jumlah yang besar tetapi gagal diambil tindakan.
"Orang bawa keluar wang RM50,000 kena isi pelbagai borang untuk Bank Negara. Orang keluar berbilion ringgit terpadam pula dari pengetahun Gabenor dan pegawai BNM. Dia kena jawab soal ini," ujarnya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu seterusnya mendedahkan wang negara yang diselewengkan melalui 1MDB ada yang digunakan untuk membayar bil perjudian di Los Angelas juga membeli lukisan karya Monet, membeli bangunan dan harta lainnya.
"Jadi sekarang dikatakan perkara ini sudah berlalu. Bagaimana berlalu tetapi kita kena bayar (hutang) puluhan bilion? Saya perlu penjelasan. Bingung, kalau sikap begini berterusan.
"Sekarang (ada ahli politik kata) jangan bimbang kes rasuah. Kalau kita menang pilihan raya dan berkuasa semula semua ini terpadam dengan sendirinya.
"Bukankah ini bermakna institusi itu dikompromi? Sebab itu saya minta SPRM, BNM, LHDN, PDRM benar benar bermaruah dan berintegriti (dalam menjalankan siasatan)," katanya.
Selain itu, Anwar juga hairan dengan ketidakmampuan pasukan penguatkuasaan Malaysia menyiasat secara keseluruhan kes 1MDB.
Katanya, sekiranya Leissner tidak mendedahkan beliau telah menghadiahkan kekasihkannya, bekas CEO Astro sebuah rumah bernilai AS$10 juta di London, maka hal itu akan terus terpendam.
"Isu yang dibongkar oleh Leissner, soalannya bagaimana agensi penguatkuasaan keselamatan tidak mampu membongkar kes ini?
"Walaupun ada siri pendakwaan di mahkamah tetapi bahan bahan ini kita harus tunggu sehingga ada, yang pertama DOJ (Jabatan Kehakiman) AS dan keduanya di mahkamah AS.
"Saya tekankan walau SPRM ada menjawab, sebahagian kes disiasat Jabatan Jenayah PDRM dan SPRM telah memanggil wanita berkenaan mengenai rumah, tetapi saya cadangkan mesti ada pasukan khas sekurang kurangnya 4 agensi ini untuk menyeleraskan tindakan.
"Kes ini besar, berpuluh bilion dan ada orang cuba memadamkan. Dia ingat ini wang siapa. Wang negara hilang dan tak ada apa apa (yang dipertanggungjawabkan).
"Saya tak faham, apatah lagi orang itu (yang terlibat) orang Islam," katanya lagi.