Jangan hanya sindir, buka semula fail jika benar pendakwaan terpilih, Anwar cabar PM



Anwar Ibrahim berkata, jika Perdana Menteri mengandaikan bawah
 kerajaan PH berlaku pendakwaan terpilih, maka tidak ada halangan
 sama sekali untuk Peguam Negara membuka semula fail berkaitan
. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencabar kerajaan supaya membuka semula fail bagi kes jenayah yang didakwa berlaku pendakwaan terpilih semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Perdana Menteri mengandaikan di bawah kerajaan PH berlaku pendakwaan terpilih, tidak ada halangan sama sekali untuk Peguam Negara membuka fail-fail tersebut. Jangan bagi alasan dan buat sindiran,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Presiden PKR menarik perhatian kepada dakwaan bahawa seorang konglomerat dilindungi kerana anak individu itu terlibat kes dadah. Beliau mengingatkan kerajaan bahawa tidak ada had masa untuk pendakwaan kes jenayah.

“Bagi saya ada baiknya, supaya kadang-kadang orang yang berdegar-degar cakap pasal rasuah itu tahu ‘hadnya’ bila dia sendiri atau keluarganya terpalit dengan jenayah atau rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menolak andaian dalam kalangan pemimpin yang percaya orang Melayu boleh menerima rasuah dengan menyifatkannya sebagai “jumud” dan “kolot”.

“Ini penyakit yang harus diubati bermula dengan sikap pemimpin,” tegas Anwar.

“Mula (anggap) Melayu malas, kemudian (anggap) Melayu senang terima rasuah.”

Semalam apabila ditanya mengenai kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan di Dewan Rakyat bahawa pentadbirannya tidak melindungi mana-mana individu daripada pendakwaan kes rasuah.

Beliau bagaimanapun menambah “kita tidak tahu sama ada dulu ada pendakwaan terpilih atau tidak”.

No comments: