HANGPA SEBENARNYA DAH TAK DIPERLUKAN . INDERA MAHKOTA PUN BAKAL MENOLAKNYA

 

Ahmad Idham, Eizlan ‘bingung’ kontrak ditamat mengejut


Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Eizlan Yusof masing-masing dilantik
 sebagai Setiausaha Kebudayaan serta Perunding Kreatif Kementerian
 Luar pada 1 Nov 2021. (Gambar Kementerian Luar Negeri)

PETALING JAYA: Anak seni, Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Eizlan Yusof “bingung” dilucutkan jawatan dalam Kementerian Luar secara mengejut.

Ahmad Idham dan Eizlan yang masing-masing dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan serta Perunding Kreatif Kementerian Luar, berkata mereka tidak diberikan penjelasan mengapa perkhidmatan ditamatkan serta-merta.

Mereka menerima surat penamatan kontrak pada Isnin lalu, walaupun kontrak berakhir 23 Feb lalu dan kini kedua-duanya terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.

“Sebenarnya, ramai yang bertanya tentang isu penamatan jawatan tersebut, termasuk rakan media. Bagaimana kami mahu jelaskan, sedangkan sama ada saya mahupun Eizlan juga tidak dinyatakan punca penamatan daripada beliau (Menteri Luar, Saifuddin Abdullah)?

“Awalnya memang kami bercadang tak nak buat sebarang kenyataan dan hanya mahu berdiam diri demi menghormati keputusan. Pun begitu, apabila ramai mendesak buat penjelasan, wajar kami bertindak bagi mengelak sebarang spekulasi lain timbul.

“Apa yang boleh kami nyatakan di sini, dalam surat memang tidak dinyatakan sebab khidmat kami ditamatkan. Kami juga tidak pernah dipanggil atau menerima surat amaran, jika melakukan kesalahan sepanjang bertugas,” kata Ahmad Idham menurut laporan Kosmo.

Terdahulu, media melaporkan Wisma Putra menggugurkan nama Ahmad Idham dan Eizlan daripada portfolio masing-masing, selepas didakwa melobi untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-15.

Semalam, Saifuddin mengumumkan kontrak Ahmad Idham, Eizlan dan Setiausaha Sulitnya, Fizal Fauzi ditamatkan.

Ahmad Idham dan Eizlan menuntut penjelasan, sama ada daripada Saifuddin mahupun Kementerian Luar berhubung kekeliruan yang berlaku.

“Bukan sahaja reputasi kami akan terjejas, bahkan reputasi beliau sebagai Menteri. Beliau harus mempunyai alasan kukuh, mengapa memberhentikan kami secara mengejut dengan cara begini.

“Kami mewakili industri kreatif negara. Kalau kami ada buat salah, sila jelaskan apa kesalahan yang telah dilakukan agar dapat kami perbaiki diri.”

Eizlan berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang gaji atau menggunakan wang kerajaan sepanjang empat bulan berkhidmat dalam Kementerian Luar.

“Saya tak dibayar dan hanya bekerja sebagai sukarelawan. Malah, saya terpaksa menggunakan wang sendiri untuk berkhidmat. Elaun pun tiada. Satu sen tak dibayar, tapi saya tetap buat kerja atas rasa tanggungjawab sebab nak lihat industri kita maju.”


No comments: