''Saya mengaku terlanjur kata...'
Dungun, Terengganu: "Nak undur balik tak boleh dan saya
akui apa yang berlaku memang kesilapan saya," luah ibu dua anak, Wan Nor
Baizura Bharudin.
Wan Nor Baizura, 33, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas
mengenai videonya dan anak sulung, Muhammad Adam Aqish Mikhail, 8, yang teruk
dikecam selepas tular di laman sosial sejak semalam.
Video itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen
mengecam tindakan Wan Nor Baizura dan anaknya di dalam kedai serbaneka yang
dianggap biadab serta keterlaluan.
Berkongsi perasaannya, Wan Nor Baizura yang menetap di Seberang
Pintasan, di sini, mengakui terkesan sejak videonya tular di laman sosial
kerana bukan hanya dirinya dan anak, malah keluarganya turut terkena tempias.
"Insiden di kedai serbaneka itu berlaku pada Rabu lalu dan
saya mengaku terlanjur kata.
"Bagaimanapun, salah faham antara saya dan pekerja kedai
serbaneka itu serta pihak pengurusannya sudah selesai, malah kami sudah memohon
maaf antara satu sama lain.
"Saya tak boleh lari kerana lebih baik berhadapan saja
dengan akibatnya sebab saya yang buat salah. Permohonan maaf dibuat dengan rela
hati, bukan kerana paksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Wan Nor Baizura turut mengakui kesilapannya kerana merakam dan
membuat siaran langsung mengenai kejadian itu hingga video berkenaan tular.
"Saya bukan mahu jadikan anak saya seperti dalam kisah
Anakku Sazali cuma sebagai ibu, saya mahu pertahankannya.
"Kucing pun sayangkan anak, inikan saya manusia, namun apa
yang berlaku buat saya sedar kesilapan diri.
"Jujurnya, saya tersentap membaca komen segelintir netizen
kerana ada yang mengatakan anak saya akan jadi penagih, tetapi saya cuba
bersabar dan anggap ini sebagai ujian. Saya akan berusaha mendidiknya dengan
lebih baik," katanya yang mencari rezeki sebagai peniaga alat kosmetik di
pasar malam.
Sementara itu, berhubung rakamannya di restoran makanan segera
yang tular hari ini, Wan Nor Baizura berkata, ia adalah video lama.
"Seingat saya, video itu dirakam pada 2020. Ia tular semula
kerana ada netizen 'mengorek' video lama saya.
"Saya harap orang ramai tidak mengaitkan kesilapan saya
dengan penduduk di tempat saya menetap.
"Bukan hanya saya dan keluarga, malah penduduk kampung
turut terkena tempiasnya. Sedangkan, kesilapan datang daripada saya dan saya
harap netizen tidak samakan sikap saya dengan orang Dungun kerana ramai yang
baik belaka," katanya.
Menurutnya, dia tidak boleh mengawal mulut netizen daripada
mengecam , tetapi ada beberapa individu cuba mengajak orang memboikot
perniagaannya.
Katanya, seandainya mereka berterusan mengaibkan dan mencalarkan
maruah hingga perniagaannya terjejas, dia akan mengambil tindakan
undang-undang.
Sementara itu, suaminya, Mohd Hamizam Abdul Hakim, 38, tahu
mengenai kecaman netizen terhadap isteri dan anaknya, tetapi menganggapnya
sebagai ujian Allah buat keluarganya.
"Setakat ini, kami mampu berdepan dengan kecaman itu dan
semoga semuanya jadi lebih baik selepas ini," katanya.
Sumber: Harian Metro
Oleh: Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my