(AKIBAT TAMAK HALOBA NAK MAIN 2 KOLAM DAN LUPA MENILAI KEKUATAN SENDIRI ) TERIMALAH HAKIKAT MUAFAKAT NASIONAL SUDAH PUN MATI!!

 

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kedudukan Muafakat Nasional atau MN masih lagi belum berkubur.

Katanya, ia sekadar tutup fail saja buat sementara waktu ini.

“Belum ada kubur. Belum ada batu nisan. Dan tak ada sesiapa mengisytiharkan MN sudah ditamatkan.

“Jadi secara prinsipnya, walau dia tak nampak hidup tapi dia tak mati,” katanya.




Beliau bagaimanapun mengakui jawatankuasa bersama UMNO-PAS yang dibentuk melalui MN sudah beberapa bulan tidak bermesyuarat.

Seterusnya Tuan Ibrahim berkata, “Kami akan terus menegakkan PN dan kami tidak akan bercakap mengenai MN lagi buat masa ini,” katanya lagi.

Namun demikian, penegasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara ternampak lebih jelas dan sangat mudah difahami maksudnya.

Katanya, kerjasama UMNO dengan Pas dalam MN itu biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.

“Bukan kita tidak mahu, malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,” tambah beliau.

Makna kata, terutama kepada Pas dan Tuan Ibrahim, tak usahlah berdalih dan berselindung dengan pelbagai ayat lagi mengenai kedudukan MN itu.

Terimalah hakikat bahawa MN sudah pun mati dan tidak mungkin dapat dihidupkan kembali.


Kenyataan Zahid Hamidi adalah kata muktamad yang sama maksudnya dengan talak.

Dengan berada di blok yang berbeza, malah bersaing sesama sendiri dalam PRN Melaka dan Johor ini, pastilah dalam PRU15 nanti, mereka akan bertempur sekali lagi.

Melainkan jika keduanya sama-sama cedera parah dan kalah dalam PRU15 nanti, barangkali ketika itu barulah ada kemungkinan untuk mereka rujuk semula.

Jika tidak dan salah satunya mampu berada di anjung kuasa, 60 tahun atau 100 lagi pun, UMNO dan Pas ini tetap akan berkelahi sesama sendiri dan memecah-belahkan orang-orang Melayu di negara ini. – ShahbudinHusin 05/03/2022.


No comments: