SOLIDARITI BERSAMA AKTIVIS ALAM SEKITAR YANG LANTANG BERSUARA MENENTANG KEMUSNAHAN HUTAN

 



Kami bersolidariti bersama Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yang merupakan Presiden, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) yang kini dikenakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi fitnah berjumlah RM1 juta oleh kerajaan negeri Pahang.

Puan Sri Shariffa telah lantang bersuara dan mengkritik kerajaan negeri Pahang berhubung dakwaan kegiatan pembalakan, salah guna kuasa dan rasuah yang berleluasa di negeri itu sehingga menjadi punca berlakunya bencana banjir di Pahang pada Disember 2021.

Kerajaan negeri Pahang kini menuntut permohonan maaf terbuka dibuat oleh Puan Sri Shariffa dalam tempoh 14 hari sejak notis tuntutan diterima pada 8 Februari.

"Saya akan lawan mereka di mahkamah," adalah jawapan ringkas Puan Sri Shariffa.

Saban hari, terdapat ramai aktivis alam sekitar dan komuniti akar umbi yang ditekan, diugut dan diintimidasi kononnya atas alasan "menggugat kestabilan kerajaan", "fitnah" dan "berita palsu" bagi mendiamkan suara rakyat. Segala hal teknikal dan undang-undang ditunggang dan dimanipulasi oleh pihak berkuasa tirani untuk menekan suara aktivis.

Ditambah pula, sejak akhir-akhir ini ramai aktivis wanita sering ditekan dan dibuli oleh pihak berkuasa, ahli politik dan penyokong mereka.

Dalam masa yang sama, segala maklumat tentang perjanjian pengurusan hutan, alam sekitar dan pemberian lesen projek telah tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, tidak boleh diakses oleh orang awam, dan akan sesiapa yang membocorkannya akan diambil tindakan, sekaligus membuatkan orang awam tidak mempunyai hak untuk bersuara ke atas alam sekitar mereka.

Kemusnahan hutan di Malaysia semakin melampau, sehingga membawa kepada bencana dan malapetaka. Rakyat harus bangun menentang segala kerakusan ini dan berdiri bersama-sama kami dalam menegakkan keadilan untuk rakyat dan alam sekitar.

#Solidariti #LawanIntimidasi