KISAH BUKIT UHUD

 

JAMZURI ARDANI


Dulu bila dengar ustaz cerita pasal Perang Uhud, kita dibayangkan bahawa Ar Rasul SAW meletakkan pasukan pemanah di atas Bukit Uhud. Kemudian pasukan pemanah itu turun dari Bukit Uhud kerana mengejar ghanimah setelah pasukan musuh lari meninggalkan medan perang. Lalu pasukan berkuda tentera Mekah yang dipimpin oleh Khalid Al Walid mengelilingi Bukit Uhud dan menyerang tentera Islam dari belakang.

Tetapi bila melihat secara terperinci peta medan peperangan tersebut barulah kita faham bahawa pasukan pemanah tersebut bukanlah diletakkan di puncak Bukit Uhud, tetapi sebenar mereka diposisikan di atas Jabal Rumah iaitu sebuah bukit kecil di hadapan Bukit Uhud, manakala pasukan tentera Islam berpengkalan di kaki Bukit Uhud.

Bukit Uhud itu sendiri adalah banjaran bukit yang agak besar yang panjangnya sekitar 10km. Tebingnya curam berbatu. Jadi, untuk mengelilingi Bukit Uhud ia akan mengambil jarak perjalanan sekitar 30km.

Sekiranya pasukan berkuda Khalid Al Walid mengelilingi Bukit Uhud ketika itu, ia pasti akan mengambil masa melebihi 5 jam dan ianya agak tidak logik. Sekiranya diandaikan pasukan Khalid Al Walid mengambil jalan pintas merentasi Bukit Uhud juga agak tidak munasabah dengan keadaan permukaan bumi Bukit Uhud yang curam dan berbatu.

Saya lebih cenderung mengambil pandangan bahawa tentera berkuda Khalid Al Walid menyerang tentera Islam dari belakang dengan mengelilingi Jabal Rumah, dan bukannya dengan mengelilingi Bukit Uhud.

Sekiranya Khalid Al Walid mengelilingi Bukit Uhud, beliau hanya akan tiba semula ke medan tempur setelah peperangan tamat dan tentera Islam sudah selamat pulang ke Madinah.