SELAMAT KEMBALI RAFIZI SEMOGA MEMBERI LEBIH MANFAAT KEPADA PARTI

 

Welcome, tapi tak maksud saya suka dia,’ bekas setpol Anwar komen Rafizi kembali aktif






Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ketika ditanya berkaitan sikapnya terhadap Rafizi Ramli menganggap ia amat sensitif untuk dijawab.

PETALING JAYA: Kalangan pemimpin PKR berbeza pendirian mengenai gesaan kalangan warganet dan penyokong Rafizi Ramli mahukan beliau kembali aktif dalam politik, menjelang pemilihan PKR April ini.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ketika ditanya berkaitan sikapnya terhadap Rafizi menganggap ia amat sensitif untuk dijawab.

“Saya mengalu-alukan (jika Rafizi mahu kembali aktif), tidak bermakna saya suka dia,” Farhash yang juga bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim memberitahu FMT.

Sebelum ini penyokong Rafizi dilaporkan mahu beliau kembali aktif di arena politik, terutama ketika PKR bersiap untuk menghadapi PRU15.

Beliau dilihat antara yang berkemungkinan tampil bertanding jawatan Timbalan Presiden, menggantikan Azmin Ali yang dipecat PKR susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Farhash yang berhasrat mencabar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, pada pemilihan PKR, berkata beliau tidak terlalu memikirkan tentang Rafizi.

“Kembalilah jika betul mahu kembali,” katanya.

Laporan media sebelum ini memetik Rafizi berkata beliau terpaksa mengambil kira banyak perkara dalam memutuskan sama ada akan memainkan peranan lebih besar dalam politik.

“Saya perlu bersikap realistik, iaitu saya sangat radikal dalam pemikiran dan kebanyakan pemimpin PKR sekarang serta sekutunya tidak akan selesa dengan pendekatan serta idea saya,” Malaysiakini memetiknya sebagai berkata.

Pada Disember tahun lalu, Rafizi dilaporkan menulis di Facebook, menegur Presiden PKR Anwar Ibrahim supaya berhati-hati memilih orang kelilingnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Zainol Abidin Mohamed, mempersoalkan keikhlasan Rafizi kepada perjuangan PKR.

Jelasnya, Rafizi “keluar gelanggang” di saat parti memerlukan khidmatnya ketika kerajaan Pakatan Harapan dibentuk.

“Sekiranya ada kelemahan dalam kerajaan PH ketika itu, sepatutnya sebagai pemimpin utama dia kena betulkan tapi dia keluar dari gelanggang perjuangan,” katanya kepada FMT.

“Adanya dia tidak menambah, perginya tidak mengurang,” tambahnya.

PKR dilihat sebagai memerlukan nafas baharu susulan Langkah Sheraton dan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak baru-baru ini di mana ia tewas di semua kerusi yang ditandingi.

Hubungan PKR dengan sekutunya, Amanah dan DAP juga dilihat tidak sehaluan dalam beberapa perkara. Di PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan, PKR bertanding menggunakan lambang sendiri.

Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menyambut baik sekiranya Rafizi kembali aktif berpolitik.

“Beliau merupakan Naib Presiden parti dan semestinya mampu berperanan untuk bantu perkukuh parti,” katanya.

Najwan berkata ketika ini apa yang penting adalah mengukuhkan parti, “khususnya dalam persiapan menghadapi PRU15”.

No comments: