Selebritis terkenal Indonesia kata modal politik Anwar integriti




Artis terkenal Indonesia, Ahmad Dhani yang pernah dipenjarakan kerana tuduhan menyebar mesej kebencian berkata beliau berminat untuk berkecimpung di dalam politik namun tidak punya modal.

Justeru, katanya beliau harus ke penjara dahulu untuk mendapatkan 'modal politik'.

"Kadang Tuhan tahu dalam berpolitik mesti punya modal.

"Modal duit. Semua tokoh politik sekarang ini punya modal. Ada modal duit, ada modal kekuasaan, ada modal keturunan, Ahmad Dhani modalnya apa?

"Duit tak punya, anak orang besar juga tidak. Ni masuk penjara dululah... kadang jadi modal," katanya bersahaja dalam temubual di media sosial bersama David Bayu Tube.

Ahmad memetik nama ahli politik Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke penjara kerana mempersoalkan isu korupsi.

Katanya, modal politik beliau kini adalah integriti kerana mempersoalkan hal rakyat.

"Itu namanya modal integriti. Kalau katanya Anwar Ibrahim (dipenjara kerana mempersoal pemerintah), justeru itu modal gua (saya) integriti. Itu yang mahal. Intergriti," katanya lagi.

Cuplikan temubual beliau di Twitter mendapat 168,400 view, 1,717 retweets dan 3,312 likes sejak dua minggu lalu.

Sebelum ini, Ahmad Dhani, bekas penyanyi kumpulan Dewa 19 dihukum penjara 18 bulan kerana didapati bersalah menerbitkan kenyataan kebencian di Twitter.

Ahmad mengeluarkan kenyataan itu ketika bantahan terhadap bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali sebagai Ahok yang dituduh menghina agama Islam sebelum pemimpin itu dihukum penjara.