PRN Johor: Usah jadi ‘nujum Pak Belalang’, Umno/BN ukur diri dulu sebelum berkokok sombong

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata pengundi muda akan menjadi penentu pada PRN Johor.

PETALING JAYA: Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor khususnya dalam kalangan pengundi muda 18 tahun ibarat “game changers”, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Beliau berkata, semua “paparan keputusan” pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12), PRU13 dan PRU14, dianggap sudah tidak relevan.

“Bagi PRN Johor ini, tidak ada siapa yang boleh jadi “nujum Pak Belalang” meramal mana parti politik boleh menang mudah dengan memperoleh ‘sekian-sekian banyak kerusi’.

“Jadi panduan umum bolehlah, tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda dan pengundi daftar automatik membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya di Facebook.

Hassan berkata, PRN Johor nanti dianggap sebagai raptai atau pilihan raya di peringkat sebuah negeri yang agak besar yang menyerupai wajah Malaysia pada umumnya, justeru menarik minat banyak parti yang ingin mencuba nasib.

“Di DUN Johor ada 56 kerusi, dua kali ganda berbanding Melaka yang ada 28 kerusi sahaja. Jumlah pengundi-pengundi di sesuatu kawasan DUN Johor adalah ramai, tidak seperti di Melaka. Misalnya, bagi DUN di kawasan Johor Selatan seperti Skudai, Puteri Wangsa, Permas, Kempas, Senai jumlah pengundi sangat ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyindir keyakinan menggunung Umno/Barisan Nasional (BN) yang menyasarkan kemenangan besar pada PRN Johor nanti.

“Dalam PRU-14, Umno khususnya hanya menang di DUN dalam kawasan luar bandar seperti di Pengerang, Kota Tinggi, Mersing, Tenggara dan Pontian. Dalam PRU14 dulu, Umno kalah teruk di kawasan campuran di bandar dan separuh bandar,” katanya.

Hassan berkata, di Pontian, Umno hanya menang di Benut dan kalah kepada calon Amanah di Pulai Sebatang.

“Di Tebrau, Umno kalah di DUN Tiram kepada PH (Keadilan) dan kalah di DUN Puteri Wangsa kepada PH (Bersatu). Soal calon Bersatu di Puteri Wangsa itu melompat ke PN dan sekarang keluar dari Bersatu, itu lain cerita. Tidak mudah Umno hendak menang mudah di kawasan yang telah dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) sejak PRU lalu,” katanya.

Katanya, lebih elok Umno dan MCA dalam BN mengukur diri dan melihat di cermin sebelum berkokok sombong untuk memperagakan kekuatan di luar kenyataan sebenar.

“MCA kalah di seluruh kerusi yang ditandinginya di bawah BN dalam PRU14 yang lalu. Mengapa kini MCA tiba-tiba ada “magic” untuk kalahkan calon-calon PH dari DAP? Sokongan pengundi Cina di Sabah dan di Melaka kepada DAP tidak banyak berubah,” katanya.

Beliau berkata, di Batu Pahat, pada PRU14, dua daripada tiga DUN di bawah Parlimen Batu Pahat, Penggaram dan Senggarang dimenangi PH.

“Hanya di DUN Rengit, Umno menang. Di Parlimen Ledang, tiga dari tiga DUN dimenangi PH. Tangkak oleh DAP, Serom oleh Amanah dan Gambir oleh Bersatu iaitu kerusi yang ditandingi oleh Muhyiddin Yassin ketika itu. Mudahkah MCA untuk merampas Tangkak? Mudahkan Umno untuk merampas Serom dan Gambir?” soalnya.

No comments: