Sahabat saya Shahbuddin Husin dalam hantaran terbaharu di blognya mempersoalkan kenapa Tan Sri Annuar Musa (TSAM) tidak kelihatan bersungguh-sungguh mempertahankan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS) yang pada anggapannya sedang berdepan dengan kritikan hebat dari pelbagai penjuru sejak mengambil alih tampuk kerajaan dari Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).
Dalam tulisan yang sama Shahbuddin turut membandingkan peranan yang dimainkan oleh TSAM pada era TSMY menjadi perdana menteri dengan apa yang dilakukannya sekarang. Perbandingan yang membawa kepada kesimpulan seolah-olah TSAM begitu beria-ia mempertahankan TSMY, tetapi bersikap sebaliknya kepada DSIS.
Kata Shahbuddin, sepatutnya sebagai menteri komunikasi dan multimedia, TSAM harus memainkan peranan yang lebih aktif. Mungkin dia maksudkan bukan setakat menjadi perisai, tetapi menjadi tembok batu.
Sebagai penulis politik, kita faham Shahbuddin hanya menjalankan tugasnya. Kita juga faham bahawa sebagai blogger yang kuat mendokong fahaman dan agenda pembangkang, Shahbuddin perlu memanfaatkan apa sahaja peluang yang ada untuk menggembirakan pasukan – dan mungkin juga majikannya.
Di Malaysia, menjadi penulis politik bukanlah sesuatu yang sukar. Ia boleh dilakukan oleh kebanyakan orang. Hanya dengar apa yang orang cakap, kemudian tulislah. Buatlah kesimpulan dan andaian sendiri. Tidak perlu bersusah payah membuat semakan, apatah lagi kajian dan penyelidikan yang sememangnya bukan budaya kita.
Jika Shahbuddin meluangkan sedikit masa untuk menyemak dan menilai apa yang TSAM telah lakukan sejak menjadi menteri KKMM, besar kemungkinan nada tulisannya akan berbeza. Tajuk tulisan itu juga mungkin tidak berbunyi ‘Annuar Musa Tidak Bantu Ismail Sabri?’, sebaliknya akan berbunyi, ‘Kenapa Annuar Musa asyik bantu/pertahan Ismail Sabri?’.
Saya katakan begitu kerana memang itulah yang dilakukan oleh TSAM. Dia bekerja keras siang dan malam bagi mempertahankan kerajaan yang diterajui oleh DSIS. Saya membuat kenyataan ini bukan berdasarkan cakap dengar yang dikutip dari bistro atau kedai kopi, tetapi berdasarkan hubungan kerja saya dengan beliau.
Saya boleh katakan bahawa tidak ada hari bagi TSAM tanpa usaha dan langkah memperkukuhkan kedudukan kerajaan, khususnya DSIS. Saya rasa ramai orang, termasuk Shahbuddin tahu bahawa TSAM merupakan antara penggerak utama misi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh DSIS. Bermula daripada peringkat draf sehingga dilancar dan dilaksanakan, peranannya bukan calang-calang. Dialah yang mencipta lagu Keluarga Malaysia, mengadakan pelbagai program dalam pelbagai format dengan matlamat untuk memastikan Keluarga Malaysia benar-benar meresapi jiwa setiap anak watan negara ini sejajar dengan hasrat perdana menteri. Kini, sedang berjalan Town Hall Bicara Keluarga Malaysia, dan TSAM jugalah penerajunya.
Sebagai supolnya, saya tahu bahawa setiap minggu TSAM akan duduk bersama dengan pasukan dari pejabat perdana menteri (PMO) untuk menguruskan hal-hal yang melibatkan kepentingan kerajaan. Dia juga sentiasa bersama dengan Jawatankuasa Komunikasi Kabinet untuk mendengar, merangka, membincang, merencana dan melaksana apa yang perlu.
Sepintas lalu memanglah semenjak menjadi menteri KKMM, TSAM kelihatan tidak segarang semasa menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Tetapi bukankah memang sepatutnya begitu? Konflik kepentingan akan berlaku apabila dia, selaku menteri KKMM menggunakan kedudukannya untuk berlebih-lebih dalam soal politik, apatah lagi yang berhubung kait dengan kedudukan perdana menteri yang merupakan salah seorang pemimpin partinya. Akan timbullah pula nanti dakwaan yang dia menggunakan saluran dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti dan seumpamanya. Yang hingar nanti penulis macam Shahbuddin juga.
Lain keadaannya dengan di KWP di mana ruang untuk dia bercakap dan menyuarakan pandangan lebih terbuka. Konflik of interest memang ada, tetapi ia boleh diminimumkan berbanding dengan kedudukan sebagai menteri KKMM. Sebagai orang yang cukup lama menjadi pengamat politik, malah pernah terlibat secara langsung dalam politik, saya yakin Shahbuddin faham bahawa strategi politik mempunyai kepelbagaiannya. Ahli politik yang hebat tidak akan menggunakan strategi yang sama sepanjang masa. Contohnya, dengan mendakwa ‘ada sokongan dan cukup bilangan’ berkali-kali.
Saya juga percaya bahawa Shahbuddin dan beberapa pihak lain bukanlah berhajat sangat untuk melihat TSAM mempertahankan DSIS. Apa yang disuarakan bukan bertujuan mengukuhkan kedudukan DSIS, tetapi sekadar untuk memasang perangkap adu domba. Maaf, sahabat, kami tidak akan terjatuh ke dalamnya.
Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi, Setiausaha Politik Tan Sri Annuar Hj Musa.