KENYATAAN MEDIA : MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN 10 Februari 2022

 




KENYATAAN MEDIA

MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
10 Februari 2022
PAKATAN HARAPAN UMUM TAWARAN, CALON BAGI PRN JOHOR, SERTA BERTEGAS DALAM ISU MELULUSKAN RUU ANTI-LOMPAT PARTI
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat berkala semalam. Berhubung PRN Johor, Majlis Presiden telah memutuskan bahawa Pakatan Harapan akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’.
Ini merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.
Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon Pakatan Harapan bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Ini demi menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik.
Majlis Presiden memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam. Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka Kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.
Sekiranya Kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan. Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini.
Pakatan Harapan juga memberikan amaran agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan. Jangan lah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar.
Majlis Presiden turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang Anti- Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.
RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan dan Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan. Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.
Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MOU tersebut.
Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)



No comments: