Omicron: Tangguh PRN Johor atau benarkan kempen terbuka, PH beritahu kerajaan

 

Majlis Presiden PH menegaskan kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan sekiranya kerajaan enggan menangguhkan PRN Johor.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan supaya menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Johor susulan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 17,000 kes.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan membuat gesaan itu bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alat untuk tujuan politik.

“Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam. Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.

“Yang pasti perintah kawalan pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau itu juga PH memberi amaran agar kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani gelombang varian Omicron yang rata-rata bergejala ringan.

“Janganlah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar,” katanya.

Katanya, mesyuarat Majlis Presiden PH semalam turut memutuskan untuk menyediakan siri tawaran di bawah kempen “ Johor Bangkit:Maju, Bermaruah” merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac depan dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac.

Dalam perkembangan lain, PH juga turut menggesa kerajaan supaya membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti seperti yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara gabungan itu dengan Putrajaya sebelum ini.

No comments: