MALU APA BOSSKU

 

Mahkamah Tinggi semalam memerintahkan Najib Razak tidak boleh mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga pada nilai AS$681 juta.

Berdasarkan dokumen perintah yang diperoleh media, bekas Perdana Menteri itu juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaun bank untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding Zoom selepas membenarkan permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dimohon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Perintah itu berkuatkuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Mengikut perintah itu, jika Najib memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan, beliau hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversifiedyang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam kes saman sivil berkenaan.

Jika tiada kebenaran bertulis diberikan, Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada mahkamah.

Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat aset dan maklumat itu hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada Peguam plaintif pertama dan kelima.

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

Perintah terbabit juga menyatakan mana-mana individu dalam prosiding ini atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Tuntutan saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan itu.

Sumber – https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/02/920507/najib-tidak-boleh-usik-asetnya-sehingga-as681-juta


No comments: