Kos PRN Johor RM96 juta, lebih baik guna untuk turunkan harga ayam - Akmal

'' failed to upload. Invalid response: RpcError


Pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam bahawa kos melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac ini sebanyak RM96 juta amat mengejutkan.

Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, kos sebanyak itu tidak seharusnya dibazirkan sekiranya PRN diadakan serentak dengan PRU dan malah sekiranya kos kesemua PRN sejak 2020 dicampurkan maka jumlahnya boleh menyelesaikan masalah kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat ketika ini.

"Saya cukup ralat dan kesal dengan pengumuman anggaran kos PRN Johor yang menelan belanja sebanyak RM96 juta.

"Itu belum kira lagi kos PRN sebelum ini seperti di Sabah RM140 juta dan PRN Melaka RM40 juta. Kalau dicampur semua ini RM276 juta

"Tatkala rakyat dihimpit harga barang naik, mereka (BN) senang-senang nak guna ratus-ratus juta ringgit wang rakyat untuk 'berpesta' rebut kuasa pulak," katanya.

Sebaliknya, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu membandingkan kos yang diperlukan oleh kerajaan Selangor untuk memastikan harga ayam dijual RM8.00 sekilogram di negeri itu, yang berpuluh kali ganda lebih rendah daripada kos PRN.

Tambahnya, andai kos 4 PRN sebanyak RM276 juta itu dialihkan kepada program subsidi makanan kenaikan harga barang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.

"Duit rakyat ratusan juta ringgit ini boleh digunakan untuk bantu rakyat. Di Selangor, kerajaan negeri boleh bagi harga ayam murah kepada rakyat hanya dengan peruntukan RM1 juta sahaja, bayangkan kalau kos RM276 juta digunakan untuk bantu rakyat mendapatkan harga ayam yang lebih murah.

"Itu belum kira subsidi dedak untuk penternak kita. Kalau kerajaan punyai hati perut bantu penternak-penternak, dengan peruntukan juta juta ini maka tidaklah masalah kehabisan stok ayam dan telur seteruk sekarang," katanya.

Malah mengikut kiraan Akmal tidak ada skim bantuan makanan kepada rakyat yang pernah mencapai kos penganjuran PRN sepanjang dua tahun ini.

"Kalau kita tengok bantuan-bantuan sebelum ini, kos bakul makanan zaman PM8 hanya RM170 juta, bajet Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk bantuan pasca banjir RM60 juta sahaja.

"Jumlah bantuan untuk rakyat teramai ini lebih kecil daripada jumlah keseluruhan pesta berebut kuasa mereka

"Banyak benda yang boleh dibuat dengan duit beratus ratus juta daripada digunakan untuk PRN. Oleh itu jangan biarkan lagi mereka ini sesuka hati gunakan wang milik kita," katanya lagi.

Semalam, pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata suruhanjaya itu menganggarkan kos mengendalikan PRN Johor mencecah RM96 juta.

Beliau berkata jumlah itu diperlukan untuk perbelanjaan logistik, membuka sebanyak 1,084 buah pusat mengundi dan melantik seramai 49,290 petugas bagi mengendalikan proses PRN membabitkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

No comments: