BAWA JALAN JALAN KE ULU TEMBELING MEMANG BANYAK KAWASAN PENEBANGAN BALAK

 


Isu balak: Pahang tuntut aktivis alam sekitar mohon maaf, ganti rugi RM1 juta






Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ini bukan kali pertama beliau menerima notis tuntutan sedemikian, malah pernah diugut dan ditahan dalam memperjuangkan serta memelihara alam semula jadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan Pahang menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM1 juta daripada aktivis alam sekitar, Shariffa Sabrina Syed Akil berkenaan kenyataan berhubung aktiviti pembalakan di negeri itu.

Menerusi notis dikeluarkan firma guaman Tetuan Hidayah Ishak & Partners yang dilihat FMT, aktivis itu didakwa membuat kenyataan dalam dua catatan Facebook bertarikh 29 Dis dan 30 Dis 2021 dan semasa wawancara Sinar Harian bersama Tokoh Wartawan Negara Johan Jaaffar pada 12 Jan.

Notis itu menyatakan kenyataan Shariffa Sabrina membawa maksud dengan membayangkan bahawa kerajaan Pahang:

  • Tidak bertanggungjawab dengan membenarkan pembalakan di kawasan pergunungan Karak seolah-olah tanpa melakukan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA);
  • Bersekongkol dengan Jabatan Perhutanan untuk mengeluarkan kenyataan berunsur penipuan bahawa kononnya tiada kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Lentang.
  • Melakukan pembalakan di Hutan Simpan Lentang tanpa rasa bersalah sehingga mengakibatkan malapetaka;
  • Terlibat dan merupakan punca kepada kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di tanah hutan kerajaan Pahang; dan
  • Mengamalkan rasuah dengan membenarkan kegiatan pembalakan secara berleluasa kepada syarikat pembalakan di kawasan hutan Pahang.

Notis itu turut mendakwa bahawa kenyataan dikeluarkan tidak berasas aktivis berkenaan telah menyebabkan kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat sekali gus menjatuhkan reputasi dan mencalar nama baik.

“Sikap tidak bertanggungjawab puan dengan kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan telah menyebabkan anak guam kami ditohmah apabila masyarakat beranggapan bahawa anak guam kami adalah kerajaan yang menipu, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Notis itu menuntut Shariffa Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) membuat permohonan maaf tanpa syarat kepada kerajaan negeri secara terbuka melalui semua media terutama Facebook dan Instagram.

Katanya, jika Shariffa Sabrina gagal mematuhi notis itu dalam tempoh 14 hari selepas menerima surat berkenaan, kerajaan negeri akan memfailkan tuntutan di mahkamah tanpa merujuk kepada aktivis itu lagi serta akan membuat tuntutan lain.

Sementara itu, Shariffa Sabrina ketika dihubungi berkata, ini bukan kali pertama beliau menerima notis tuntutan sedemikian, malah pernah diugut dan ditahan dalam memperjuangkan serta memelihara alam semula jadi.

“Ugutan dan salah guna kuasa akan terus digunakan untuk menghalang saya daripada mendedahkan salah laku kerajaan melibatkan jenayah terhadap alam.

“Tindakan kerajaan negeri juga bertentangan dengan kebebasan bersuara dan menunjukkan mereka tidak cekap menangani dakwaan dilemparkan terhadap mereka, serta gagal memperbaiki kelemahan mereka dalam melindungi alam semula jadi,” katanya.

Katanya, hutan berperanan dalam usaha memerangi pemanasan global.

“Taktik seperti ini (menghantar notis tuntutan) untuk menimbulkan ketakutan malah ugutan tindakan undang-undang boleh mencemarkan nama baik negara di dalam dan di luar negara,” katanya.

No comments: