HARAP HADI AWANG TURUN PADANG MELAWAT


 

Banjir memburuk, orang ramai mohon doakan Terengganu

Susulan laporan bahawa penduduk di lebih 20 buah kampung di Terengganu terputus hubungan selepas banjir semakin memburuk, orang ramai merayu semua pihak untuk segera menghulurkan bantuan dan mendoakan keadaan rakyat di negeri itu.

“Saya tak rasa ramai yang tahu betapa buruknya banjir di Terengganu sekarang. Tolong doakan untuk abang dan kakak kita di sana,” ciap @acanul_.

Penduduk Terengganu juga mengakui banjir kali ini agak teruk dan membimbangkan mereka.

Orang awam di sana turut berkongsikan beberapa video memaparkan keadaan di negeri itu ketika ini.

Menerusi beberapa video yang mula tersebar di media sosial, beberapa buah rumah dapat dilihat sudah pun dinaiki air dan kelihatan orang ramai terpaksa keluar pindah ke bukit berhampiran. Bagaimanapun lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.

Sehingga jam 4 petang tadi, difahamkan hujan lebat di negeri itu masih lagi berterusan.

Banjir memburuk, orang ramai mohon doakan Terengganu
keadaan banjir di Terengganu yang dikongsikan orang awam

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga sejak tengahari tadi telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk di tiga buah negeri iaitu Perak, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, dalam ciapan terbaru Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan bahawa pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan operasi pemindahan mangsa banjir sekitar jam 2 petang tadi di kawasan Kg. Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Katanya, seramai tujuh orang termasuk seorang warga emas dan seorang bayi berjaya dipindahkan.