JANGAN LAKSANA DENDA TERPILIH, HIMPUNAN BN DI PUSAT PENGUNDIAN BAGAIMANA?
Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah sesuatu yang baik bagi tujuan mencegah penularan Covid-19 meskipun ada beberapa perkara yang tidak selari dengan semangat demokrasi sempena PRN ini.
Namun, pelaksanaan penguatkuasaan secara terpilih adalah amalan yang tidak bertanggungjawab dan akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap peraturan yang dibuat.
Terbaru adalah tindakan mendenda wartawan yang dikatakan tidak mematuhi penjarakan sosial semasa wartawan tersebut menjalankan tugas adalah sesuatu yang menimbulkan kegusaran di kalangan pengamal media terutamanya wartawan di lapangan.
Saya menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang begitu menekankan soal SOP kepada petugas media supaya berlaku adil dan memebuat teguran serupa kepada Barisan Nasional yang secara terang-terangan melanggar peraturan yang digariskan SPR pada hari penamaan calon.
Seringkali kita melihat bagaimana pihak kerajaan khususnya para Menteri menasihatkan rakyat mematuhi SOP tetapi di kalangan mereka sendiri secara terbuka melanggar peraturan yang dibuat.
Justeru, saya juga menggesa tindakan yang sama dikenakan kepada penyokong BN yang berada di kawasan Pusat Penamaan Calon DUN Mahkota di Dewan Serbaguna Taman Sri Kluang yang telah berhimpun dan berarak di kawasan tersebut.
Meskipun sudah diberi teguran namun kumpulan ini langsung tidak mengendahkan dan terus berkumpul tanpa penjarakan sosial. Ini jelas telah melanggar SOP yang digariskan oleh SPR.
Sewajarnya tindakan sama perlu dibuat kepada kumpulan ini seperti mana yang dikenakan kepada wartawan yang didenda hari ini.