TERUS BERSAMA BERSATU ADALAH PILIHAN KALAH BUAT PAS

 

Dalam tujuh resolusi Muzakarah Bersatu – Pas baru-baru ini, selain salah satunya ialah memberi peringatan tentang sokongan bersyarat kepada Ismail Sabri Yaakob, kedua-dua parti itu juga memuktamadkan ketetapan untuk menyertai PRN Johor atas tiket Perikatan Nasional atau PN.

Di samping itu, mereka juga membuat ketetapan untuk terus memperkukuh jalinan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai ‘satu pasukan’ sehingga ke peringkat jentera akar umbi.

Ertinya, meskipun Pas kalah semua kerusi yang ditandinginya bersama Bersatu menggunakan logo PN dalam PRN Melaka sebelum ini, mereka seperti tidak mengambil iktibar daripada kekalahan tersebut.

Sebagai parti yang lebih besar daripada Bersatu, Pas sepatutnya berani berfikir dan bertindak di luar kotak demi kelangsungan masa depannya sendiri.

Kalah di Melaka dan memilih terus bersama Bersatu yang semakin mengalami defisit sokongan rakyat, tidak lebih hanya menjanjikan jaminan kekalahan lebih mudah berulang di Johor nanti.

Dengan bertanding atas tiket PN juga, jentera akar umbi Pas lebih mungkin diperguna dan dilasak oleh Bersatu atas nama kebersamaan dan permuafakatan PN.

Walhal, jentera akar umbi daripada Bersatu sendiri boleh dikata tidak mengambil peranan yang sewajarnya, sesuai dengan kedudukannya yang mengetuai gabungan PN.

Dalam konteks Bersatu di Johor, malah di mana-mana saja, jangankan jentera pilihanraya, jumlah ahli dan cawangan di setiap bahagian pun hanya sekadar ada saja bilangannya.

Mengheret Pas bertanding atas tiket PN hanyalah dengan satu tujuan iaitu untuk membolehkan Bersatu menumpang jentera akar umbi di ranting-rantingnya yang jumlah lebih besar serta ramai.

Jalan lebih selesa buat Pas sepatutnya ialah mereka bertanding atas logo sendiri dan bukan lagi atas tiket PN di Johor, terutama selepas keputusan PRN Melaka yang tidak menjanjikan apa-apa harapan atas tiket kebersamaan.

Di samping nama Pas itu sendiri lebih kukuh dan dikenali berbanding jenama PN, keberanian untuk bertanding atas tiket sendiri secara tidak langsung akan membuka ruang jika benar parti itu ingin bersama dengan UMNO di masa-masa akan datang.

Ini tidak, dalam keinginan untuk berbaik dan meminta kerusi daripada UMNO, Pas sebaliknya terus mengukuhkan hubungan dengan Bersatu dan terus bertanding atas tiket BN.

Apabila permintaan untuk mendapatkan kerusi yang munasabah ditolak oleh UMNO, Pas seolah-olah meroyan pula menyalahkan parti itu serta mengungkit pertolongan yang pernah diberikannya sebelum ini.

Lalu, terkeluarlah perumpaan itik patah kaki yang tentu saja membuatkan UMNO jadi sakit hati.

Jika Pas memikirkan survivalnya, ia bukan saja harus bergerak sendiri dan melupakan Bersatu, malah tidak harus sama sekali membawa nama Bersatu dalam sebarang perundingan berbahagi kerusi dengan UMNO.

Di PRN Johor, Pas sepatutnya berani bertanding atas tiket sendiri dan mengambil langkah seperti yang PKR lakukan.

Dengan itu, apa juga keputusan PRN Johor nanti, Pas lebih mudah menetapkan langkah untuk kepentingannya sendiri..

Secara tidak langsung, barulah kemudiannya ruang untuk mereka meneroka kerjasama dan memperbaharui hubungan dengan UMNO akan terbuka dengan sendirinya.

Sebaliknya, pilihan Pas untuk kekal bersama Bersatu dan terus bertanding atas panji-panji PN, bukan saja di Johor, tetapi juga jika terus melakukannya dalam PRU15 akan datang, kekalahan lebih mungkin menjadi destinasi persinggahannya berbanding menikmati kemenangan yang diangan-angankan. – ShahbudinHusin 30/01/2022.


No comments: