Sanusi nafi DUN Kedah akan dibubar

 


Sanusi nafi DUN Kedah akan dibubar


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan dakwaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kepimpinannya hanya merupakan khabar angin.

Menurutnya, beliau sebelum ini tidak tahu mengenai perkara ini dan hanya menerima perkhabaran berkenaan daripada pihak media, hari ini.

“Tak adalah (isu tarik sokongan ini), (ia hanyalah) khabar angin sahaja, Alhamdulilah semua okey (di peringkat pentadbiran kerajaan), (sekarang ini pun) ada Datuk Sabrina (ADUN Bandar Baharu) di dalam (program) ini, tiada isu (tarik sokongan) (dalam pentadbiran kerajaan) Negeri Kedah.

“(Kepimpinan di peringkat negeri) aman, (selari dengan nama) Kedah Darul Aman, (lagipun) kita tidak buat benda atau perkara (yang membuatkan) orang (atau rakyat) marah (dan) saya harap (ia berterusan) macam itu.

“(Jadi) janganlah buat benda (yang buat) orang marah, ada apa-apa bincang, runding dan (berjumpa), saya tiada masalah, ‘anytime’ dan ‘anywhere’ dengan ‘anybody’ (kita) boleh jumpa.

“(Orang Kedah) mulut sahaja kasar (tetapi) hati baik, betul kan Datuk Sabrina?, mulut saja kasar dalam hati ada taman..orang Kedah memang cakap macam itu tetapi orang kedah semua baik-baik,” katanya sambil berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara KXP Airport Holdings dengan POS Aviation dan KLIA College di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad.

Sementara itu ADUN Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui turut menafikan dakwaan bahawa beliau bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.

Menurutnya, beliau tidak pernah sama sekali membincangkan mengenai perkara itu dengan mana-mana pihak sebaliknya mahu fokus kepada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kedah.

“Tidak dibincangkan, tidak diperkatakan dan tidak dipersoalkan (mengenai sokongan terhadap Menteri Besar) sebab dua adun (yang disebut) tu kamilah, (saya dan ADUN Sungai Tiang).,

“Ya (benar) tiada apa-apa (rancangan untuk tarik sokongan) maksudnya (kami) buat kerja macam biasa, hubungan (dengan pentadbiran) macam biasa, kalau tidak (saya) tak hadir (program) hari ni.

“(Sekarang ini masa) fikir pasal Kerajaan Kedah sahaja, apa (perkara) yang boleh majukan Kedah, itu sahaja, (jadi) prestasi jangan cari kontroversi,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai tangkap layar yang mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sekali gus menyebabkan berlaku pilihan raya negeri.

Semakan yang dibuat di akaun media sosial Facebook terbabit hari ini, tidak menemui status tersebut dipercayai telah dipadamkan sejak petang semalam.

Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Sanusi ketika ini memiliki 23 kerusi DUN dengan Pas mempunyai kerusi tertinggi iaitu 15 kerusi diikuti Bersatu (enam) dan BN (dua).

Pakatan Harapan pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (lima), Parti Amanah Negara (empat) dan DAP (dua), sementara dua lagi kerusi dimiliki Parti Pejuang Tanah Air.

No comments: