Pemergian Pak Den cukup terkesan buat Anwar


Saeden Wateh atau lebih dikenali sebagai Pak Den Gayong telah menghembuskan nafasnya yang terakhir petang semalam.

Umum mengetahui di mana ada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di situlah ada Pak Den dan beliau juga cukup dikenali dalam kalangan wartawan.

Secara peribadi bagi Anwar Ibrahim pemergian Pak Den sangat terkesan buatnya kerana banyak membantu beliau di pejabat secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan

“Pemergiannya ini ternyata meninggalkan kesan yang tidak kecil kepada saya.

“Malam tadi saya hadir menziarahi jenazah almarhum saudara Saeden Bin Wateh atau lebih dikenali sebagai Pak Din Gayong yang telah pergi meninggalkan kita semua,” tulis Anwar.

Pak Den yang begitu dekat dengan seni pusaka gayong sudah pasti katanya, anak-anak gayong juga pasti turut terkesan tatkala arwah Pak Din tidak pernah lelah mendidik serta memelihara budaya dan warisan Melayu ini.

“Semoga arwah Pak Din diberi tempat yang terbaik oleh Allah SWT,” katanya.

ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil turut merakam takziah kepada keluarga Pak Den dan menyifatkan Allahyarham seorang pejuang sejak era reformasi yang cukup rapat dengan keluarganya iaitu Allahyarham Dato Ustaz Fadzil Muhammad Noor, bekas Presiden Pas.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Pak Den. Salam takziah buat keluarga. Saya turut menziarahi jenazah malam tadi,” tulis beliau.