Bersatu mengganyang SPRM

 


Satu kelompok yang biasa, lumrah, malah kebiasaannya menggelumangi rasuah ialah para politikus, dan lasykarnya. Oleh sebab itu mereka berpotensi memusuhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM. Kita tidak akan menuduh semua, tetapi kita akan menghalusi gerak-geri mereka ini.

Untuk memahami senario rumit ini, biar saya jelaskan secara ‘sosiologinya’. Politikus ini juga dikenali sebagai pegawai badan awam yang antara lain adalah Ahli Parlimen, dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, di mana mereka ini menerima saraan daripada wang awam.

Manakala lasykar bagi politikus ini merangkumi antara lain soldadu siber. Mereka ini dalam istilah rasminya adalah “ejen” atau mereka yang diambil kerja oleh atau bertindak bagi seorang lain, dan termasuklah pegawai badan awam itu, tidak kiralah berperanan sebagai pemegang amanah, pembantu, dan kadang pentadbir.

Oleh sebab di Malaysia, parti-parti politik tidak pun wajib membuat pendedahan awam mengenai amaun dan sumber pembiayaan dan perbelanjaan mereka, rasuah mudah tergusur antara, sesama, dan dalam kalangan politikus dan ejen ini.

Sebagai contoh, seorang politikus memerlukan dokongan kem tertentu dalam parti, maka wang akan beredar kepada soldadu internet atau ejen pempengaruh. Ejen di bawah ini akan memastikan politikus yang menyara mereka dapat mengekalkan jawatan, atau menang dalam kedudukan idaman.

Tidaklah terlalu sulit untuk menentukan aktiviti seseorang pegawai awam atau ahli politik dan lasykarnya itu adalah korup. Tindak-tanduk politisyen ini dapat ditentukan oleh misalnya; pertama sekali, kedudukan mereka di dalam badan awam. Katakan mereka itu mungkin saja pembantu atau pegawai khas kepada mana-mana politikus.

Kedua, untuk menentukan korupsi, kita boleh meneliti sebarang derma yang diberikan atau diperoleh oleh beliau itu. Jika derma itu berlaku dengan tukaran janji tertentu, maka tidak dapat tidak; rasuah dan bunganya sedang merecup.

Ketiga, kita boleh meneliti pula sebarang dorongan yang diberikan atau diperoleh oleh beliau. Projek yang kononnya dibangunkan untuk kebaikan masyarakat misalnya tentu saja akan direbut oleh para peniaga dan pedagang di luar sana. Maka, di sinilah dorongan ini harus ditenung-tenung.

Seterusnya ialah memastikan apakah bentuk ‘balasan balik’ yang diperoleh atau diberikan kepada mana-mana pihak ke atas sumbangan derma dan juga balasan yang diberikan atau diterima oleh beliau. Misalnya adakah politikus tersebut akan membuat sebarang keputusan berpihak kepada penderma yang ada udang di sebalik batu ini.

Oleh itu dapat kita hujahkan yang sebarang aktiviti dan tindak tanduk sama ada bersifat politik atau tidak hanya akan dapat ditentukan sebagai rasuah politik dengan memastikan setiap itu memiliki keempat-empat elemen tersebut.

Di negara yang sistem demokrasinya sihat, dan rasuah atau korupsi itu terselia-kawal, akaun parti politik hendaklah diperlihatkan secara telus dan dapat diakses orang awam. Dengan itu kita akan tahu misalnya siapa membiayai Perdana Menteri, adakah abang besar China, atau mana-mana penderma Arab? Hal ini berlaku sebagai contoh di Amerika Syarikat dan Jerman.

Rasuah yang saya maksudkan ini adalah rasuah politik yang sentiasa berlegar sesama ahli politik, juga ahli perniagaan yang ingin mendapatkan kontrak misalnya; dan juga dilicinkan kepada lasykar siber yang merupakan ejen buat politikus.

Dalam hal ini lasykar siber ini boleh membina persepsi dan mencipta naratif tertentu. Seorang politikus perasuah misalnya boleh diikonkan sebagai wira. Manakala mereka yang menghantar politikus perasuah ini ke kandang mahkamah atau jeriji besi akan dicemarkan sebagai penjahat, pendengki, atau musuh negara.

Kita selalu mendengar misalnya dalam kalangan orang kampung yang negarawan Tun Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab mengatur konspirasi tertentu untuk membubuh ahli politik kecintaan mereka ke kandang mahkamah atau tembok penjara. Apa sahaja fakta kes kadang-kala diabaikan.

Sebenarnya apa pun naratif yang dicipta ini semuanya bersumberkan kumpulan politikus dan ejennya. Untuk ejen yang cekap, mereka akan menstrategikan naratif ini. Kadang-kala akaun palsu di media sosial tanpa kebertanggungjawaban akan diwujudkan untuk mempersembahkan penipuan begini.

Akaun palsu ini bukanlah media massa konvensional yang ada mekanisme semak imbang seperti suntingan. Malah akaun ini tiada editor, nama penulis apatah lagi kebertanggungjawaban. Akaun palsu yang cekap akan mendapat sambutan, dan sesiapa yang memusuhi akaun palsu ini akan diburukkan. Dalam banyak keadaan yang dituduh pula tidak dapat menjawab.

Hal ini seperti disentuh sebelum tadi diburukkan oleh tiadanya peruntukan perundangan yang mengawal selia derma politik. Untuk mengatur dan mengawal secara sihat demokrasi di negara ini, sumbangan kewangan daripada mana-mana individu dan syarikat kepada parti-parti politik mestilah dihadkan.

Bahkan, syarikat yang membuat keuntungan sepatutnya tidak diizinkan membuat derma politik. Ini agar kita dapat mencegah mana-mana saudagar kaya yang jahat dengan agenda persendirian melakukan sesuatu yang boleh mempengaruhi hasil atau keputusan, katakan pilihan raya; atau pemilihan dalam parti.

Salah satu pakej reformasi SPRM ialah ketelusan dalam pendanaan politik. Meskipun sebahagian ahli politik cuba mempamerkan ketulusan mereka untuk kononnya menyokong pembaharuan ini, tetapi sesungguhnya, ia juga merupakan satu langkah yang dapat mengikat mereka. Suka atau tidak, ahli politik adalah satu profesyen yang sangat terdedah dengan keperluan wang, termasuklah agar dapat menyara perut ejen mereka, yang antara lain termasuklah lasykar siber.

Justeru, tidaklah menghairankan sekiranya politikus ini dan lasykarnya akan berhati-hati dengan badan penguatkuasaan dan pencegahan rasuah. Dalam banyak keadaan badan seperti ini, dan anggotanya bahkan akan dibenci dan dimusuhi.

Untuk itu, lasykar para politikus boleh sahaja membina persepsi buruk terhadap katakan, SPRM. Ini merupakan satu taktik pelincir yang berfungsi dengan berkesan.

Dalam hal ini tidaklah menghairankan jika agensi penguatkuasaan rasuah di mana-mana negara yang tidak telus kepada masyarakat, akan dimusuhi; dan kadang-kala dibenci. Mereka akan ditekan pihak yang berkuasa, manakala di pihak pembangkang akan sentiasa mencurigai. Walhasilnya mereka digelek kiri dan kanan.

Dalam hal inilah kita perlu memahami betapa SPRM menjadi badan yang paling tersepit dan terkepit. Mereka ingin melakukan sesuatu yang benar untuk rakyat, tetapi akan sentiasa terikat kaki tangan oleh segelintir politikus yang bermain-main.

Suka atau tidak, kita perlu akur, beberapa ahli politik berpengaruh dalam kerajaan mahupun dalam kalangan oposisi hari ini masing-masing mempunyai kes rasuah yang boleh menghancurkan karier mereka. Tidaklah aneh kiranya, kita mendapati lasykar atau ejen politikus tertentu akan bersungguh-sungguh misalnya mencemarkan nama pihak yang boleh menggugat agenda atau impian mereka.

Dalam hal ini SPRM sebagai contoh jika berjaya diburukkan dan tidak lagi dipercayai maka segala kerja mereka itu akan menjadi mudah di masa hadapan.

Sedihnya, kadang-kala lasykar ini tidak pun diberi apa-apa sebagai habuan bekerja sebagai ejen; tetapi lasykar itu kadang-kadang semata-mata taksub. Maka segala dakwaan rasuah yang menimpa politikus kegemaran dan kesayangan mereka cepat ditenggelami oleh perasaan dan emosi.

Dalam pada itu, sementara semua kegilaan di atas terjadi; rasuah akan terus mencanak, masyarakat akan kompromi. Dua yang dinyatakan ini merupakan satu formula awal sebuah negara gagal.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments: