Badan pemikir, NGO cadang Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah selia SPRM


PETALING JAYA: Badan pemikir dan NGO mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IACC) bagi menyelia agensi antirasuah negara serta melantik ketuanya.

nstitut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) percaya perkara itu sepatutnya menjadi sebahagian daripada pembaharuan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bercakap pada forum mengenai “Solusi Transformasi SPRM” anjuran Rasuah Busters, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, suruhanjaya itu akan menjadi sebuah institusi bebas dan tidak dipengaruhi oleh kuasa politik dan eksekutif.

“Sebagai sebahagian daripada reformasi SPRM, kami mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah untuk menyelia mana-mana agensi pencegahan rasuah di negara ini. IACC juga akan ditugaskan untuk melantik ketua agensi itu,” katanya.

Yeoh berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan bertanggungjawab mencalonkan dan memantau pesuruhjaya IACC, “selepas itu, Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan mengundi pesuruhjaya IACC melalui majoriti mudah”.

Beliau berkata, bawah cadangan itu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Semakan Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah akan menjadi kumpulan kerja di bawah IACC.

Pengarah C4, Cynthia Gabriel, bersetuju bahawa cadangan itu yang akan menjadikan SPRM lebih efektif.

“Persediaan, undang-undang dan peraturan semasa cacat. Tidak jelas siapa semak dan imbang untuk SPRM,” katanya.

“Masalahnya, nampaknya ada pengaruh eksekutif dan politik terhadap SPRM.”

Beliau berkata, kontroversi pemilikan saham yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bukan satu-satunya kes membabitkan pegawai SPRM, sambil memetik kes seorang pegawai agensi itu yang dipercayai mencuri barang rampasan bernilai RM25 juta.

“Pembaharuan sistemik diperlukan untuk mengelakkan kes-kes sebegini daripada terus berlaku,” katanya.

Perbincangan panel Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam itu turut dihadiri wakil Transparency International Malaysia, Bersih dan Gabungan Bertindak Malaysia.

No comments: