Maszlee dipanggil polis berhubung konvoi protes PKR


Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik (berbaju biru) di Putrajaya pada Isnin untuk menyaksikan penyerahan memorandum oleh Pemuda PKR kepada SPRM. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik dipanggil polis untuk disoal siasat esok mengenai kehadirannya pada majlis penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Menurut Maszlee dalam ciapan di Twitter, beliau akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 10 pagi.

“Sehubungan kehadiran saya menyaksikan penyerahan memo oleh @AMKMalaysia (Pemuda PKR) kepada @SPRMMalaysia pada Isnin 10/1/22, saya telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak @PDRMsia esok,” katanya.

Beliau kemudian menambah: “(Adakah) Azam Baki dan adik beliau dah disoal siasat?”

Azam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebelum ini mengaku beliau membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaun dagangannya.

Dilaporkan sekumpulan ahli Pemuda PKR mengadakan protes aman pada 11 Jan untuk mendesak Azam berundur daripada jawatannya.

Kumpulan itu bergerak dalam konvoi 50 kenderaan dari Dataran Putrajaya ke ibu pejabat SPRM.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir kemudian berkata, beliau, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, Naib Ketua Pemuda PKR S Thiban dan setiausahanya, Syukri Razab, dipanggil polis untuk disoal siasat.

No comments: