Kekalahan Pakatan Harapan (PH),
khususnya KEADILAN di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini
dilingkari faktor yang pelbagai tetapi sebahagian besanya di luar kawalan.
Menurut Jawatankuasa Pilihan
Raya KEADILAN Sarawak, faktor utama
yang menyebabkan PRN kali ini
tidak begitu disertai golongan muda pengundi PH adalah kerana taktik kerajaan
Sarawak yang mengadakan pilihan raya tanpa menunggu Undi 18 dibolehkan membuang
undi.
"Kerajaan GPS berniat
untuk menindas pengundi dengan
mengandakan pilihan raya
sebelum akhir tahun untuk menyekat undi belia kerana pilihan raya berlangsung
sebelum Undi-18 dilaksanakan pada 1 Januari 2022. Akibatnya, kira-kira 150,000
pengundi muda terlepas peluang mengundi dalam pilihan raya ini.
"Di samping itu, lebih
setengah juta pengundi tambahan yang
baru-baru ini ditambah ke dalam
daftar pengundi tidak dapat mengundi serta senarai tersebut tidak akan
dilaksanakan sehingga awal 2022," katanya.
Faktor berkenaan, kata mereka, menyebabkan
golongan muda memboikot
keluar mengundi kerana kecewa
dengan ketidakmampuan mereka membuat perubahan kerajaan sekiranya membuang
undi.
Selain itu, KEADILAN Sarawak
juga kecewa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang gagal melaksanakan undi
pos, walaupun hampir 250,000 Rakyat Sarawak tinggal di Malaysia Barat, yang
majoritinya tidak dapat pulang ke Sarawak kerana harga tiket penerbangan yang
terlalu tinggi. Tiada had harga dilaksanakan oleh kerajaan untuk memudahkan
perjalanan pulang bagi menunaikan tanggungjawab.
"Kesan pandemik Covid-19
dan pilihan raya yang diadakan pada
hari Sabtu juga membawa
peratusan keluar mengundi yang lemah. Sekiranya pilihan raya diadakan pada hari
Ahad ia akan memberi rakyat Sarawak yang tinggal di luar untuk menempuh
perjalanan panjang pulang mengundi. Dalam beberapa keadaan, pengundi perlu
melalui udara, jalan raya dan air untuk kembali ke kawasan mereka," kata
kenyataan itu.
Kerajaan GPS juga dikecam
kerana gagal memastikan capaian internet
yang stabil di sebahagian besar
kawasan luar bandar di seluruh Sarawak untuk menjadikan kempen secara maya
berkesan . Pembangkang pula tidak mempunyai akses langsung kepada media arus
perdana.
Di samping itu, kata mereka,
politik wang terus diamalkan secara
berleluasa oleh parti parti
yang mempunyai dana dan kuasa.
"Kami melihat beberapa
contoh di mana politik wang memainkan
peranan penting. Kami telah
melaporkan kejadian ini kepada polis, SPRM dan SPR serta sedang menunggu pihak
berkuasa mengambil tindakan," kata mereka lagi.
KEADILAN Sarawak mengkritik
keras taktik yang sengaja dilakukan bagi mempertahankan kuasa GPS dan
meneruskan rompakan ke atas hasil bumi Sarawak. Dengan lebih 1.5 juta penduduk
luar bandar terus merana tanpa air bersih, elektrik, internet akses, jalan raya
dan hospital.
Sehubungan itu, mereka menyeru
kepada pembaharuan pilihan raya
bagi untuk memastikan pilihan
raya yang bebas dan adil serta menamatkan politik hegemoni serta politik wang
pada masa hadapan.