Rujuk Halimah ke jawatankuasa, gesa Kula berhubung kenyataan keliru Dewan Rakyat

 

Rujuk Halimah ke jawatankuasa, gesa Kula berhubung kenyataan keliru Dewan Rakyat




Halimah Sadique juga mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan mengenai sambutan Hari Thaipusam, menurut Kula Segaran (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini menggesa supaya Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) berkata Halimah telah mengelirukan Dewan Rakyat berikutan akur janji Halimah berhubung ingin mengadakan sesi libat urus dengan Ahli Parlimen untuk berbincang mengenai isu geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) tidak ditunaikan.

“Pada 17 Nov lalu, Menteri Perpaduan (Halimah) telah (buat) akur janji kepada Dewan Rakyat, dia akan adakan satu sesi libat urus dengan Ahli Parlimen.

“(Halimah) katakan selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka dia akan adakan (sesi libat urus). Jadi sudah lebih 33 hari dan juga sekarang sudah habis PRN Sarawak.

“Mungkin kita kena tunggu pilihan raya umum (PRU) dan perkara ini akan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 17 Nov lalu, Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoal keengganan Halimah mendedahkan butiran mengenai pengurusan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang didakwa disalahgunakan.

Halimah berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana perkara itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dinasihat pihak berkuasa itu untuk tidak mendedahkan laporan tersebut.

Dalam pada itu, Kula berkata sepatutnya Halimah membuat sesi libat urus mengenai isu MITRA hari ini yang merupakan hari terakhir dewan bersidang.

Kula juga berkata Halimah juga mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan mengenai sambutan Hari Thaipusam.

“Lagi satu mengenai Thaipusam, di mana beliau kata tak ada perarakan dan sebagainya, tetapi lepas itu Menteri Sumber Manusia, M Saravanan kata boleh buat sebab Kabinet memberi kebenaran. Semua kelirukan,” katanya.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berkata perkara yang dibangkitkan Kula untuk merujuk Halimah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu diberi notis usul terlebih dahulu.

“Jika Yang Berhormat (Kula) serius nak rujuk ke dewan perlu beri notis usul. Saya pun perlu meneliti apa diperkatakan Menteri Perpaduan sebelum saya boleh buat keputusan.

“Saya perlu selidik. Kalau beri notis boleh memulakan proses penelitian. Saya tak boleh tangani dengan serta merta sebegini sahaja,” katanya.

No comments: