PETALING JAYA: Kediaman yang sudah 90% siap milik pelawak, Ebby Yus, bernilai RM200,000 “lenyap” sekelip mata selepas dihanyutkan air deras, dalam banjir di Kuala Langat, semalam.
Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, berkata “mahligai impian” itu adalah hasil titik peluh lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.
Menceritakan insiden itu, Ebby berkata, dia bersama pembantu peribadi pergi melihat kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu, termasuk proses memasang kertas hiasan dinding, tengah hari semalam.
“Tanpa disangka, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu ‘lenyap’ dalam kejadian banjir, petang semalam.
“Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena seni… Saya akur dengan ketentuan ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Ebby berkata, kerja pembinaan rumah itu dilakukan sedikit demi sedikit dan kerap terhenti kerana dia jatuh sakit, selain sekatan akibat penularan pandemik Covid-19.
“Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukan untuk rumah itu. Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut, saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu.
“Sebelum ini, projek pembinaan bertukar kontraktor kerana masalah tidak terduga… Biasalah, kerja bina rumah semuanya perlukan wang,” katanya.
Ebby yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia menyewa di Kampung Baru Kuala Lumpur, sejak 20 tahun lalu.