Dewan kecoh pembangkang persoal bantuan mangsa banjir lambat

 


Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan di Dewan Rakyat mengenai bantuan mangsa banjir yang lambat tiba, khususnya penduduk yang terjejas teruk di sekitar Lembah Klang. (Gambar Berama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan bantuan mangsa banjir yang lambat tiba.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) membangkitkan isu banjir yang berlaku di Lembah Klang dan meminta kerajaan memberi penjelasan langkah perlu diambil untuk menangani masalah itu.

“Kita perlu satu jawapan yang penting daripada kerajaan, khususnya langkah-langkah perlu yang diambil untuk tangani masalah ini.

“Ini kerana telah berlaku kematian. Saya harap ada seorang Menteri berkaitan untuk memberikan penjelasan langkah diambil untuk memulihkan dengan segera,” katanya di Dewan Rakyat.

Lim juga berkata, penjelasan perlu diberikan kerana bencana itu telah menjejaskan ribuan mangsa.

“Kita amat terharu dengan gambar-gambar, banyak lihat mereka berlindung di atas bumbung.

“Ini tak sepatutnya berlaku dalam Lembah Klang yang dianggap kawasan paling maju sekali,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, beliau juga mahu mengetahui apakah langkah diambil kerajaan dalam menangani bencana itu dan bertanya jumlah mangsa yang menerima wang ihsan RM1,000 diberikan kerajaan.

“Bila wang itu akan diberikan? Tadi saya melawat di Ampang, ada keperluan memperbaiki longkang besar yang menyebabkan banjir teruk dan menjejaskan kesihatan rakyat.

“Saya kira RM100 juta diberikan bantuan banjir tak cukup untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir. Perkara ini perlu dijelaskan segera,” katanya.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, kawasannya paling terjejas teruk.

Katanya, isu masalah banjir kali ini bukan mengenai soal bantuan wang segera tetapi mempersoalkan bantuan seperti bot yang lambat tiba.

“Soalnya mana bot tentera, bot polis? Saya sendiri sangkut lapan jam di satu stesen minyak.

“Saya tak tahu apa Menteri dan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) buat ketika begini. Dapat markah 90% (petunjuk prestasi utama kerajaan) tetapi kita lihat banjir dah masuk hari kedua tak sampai lagi bantuan banjir. Sepatutnya dah sampai,” katanya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menamatkan celahan-celahan daripada Ahli Parlimen berkaitan banjir itu.

Beliau tidak membenarkan perkara itu dibahaskan untuk memberi fokus dalam perbahasan Akta 342.

“Kalau nak penerangan Menteri, selalunya itu terserah kepada Menteri untuk membuat penerangan dan memberi notis kepada saya.

“Kita tak boleh lompat satu isu ke satu isu tanpa isu itu ada dalam aturan mesyuarat,” katanya.

Hujan lebat yang berlarutan selama dua hari sejak Jumaat lalu mengakibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

No comments: