MAJORITI UMNO BAHAGIAN MAHU PRU15 SEGERA, SEDIAKAH ISMAIL SABRI AKUR KEPADA ZAHID HAMIDI?

 

UMNO bahagian seluruh negara telah selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing semalam.

Laporan awal dan belum rasmi mendapati majoriti UMNO bahagian-bahagian meluluskan usul agar PRU15 diadakan segera dan lebih dulu sebelum pemilihan parti.

Daripada 191 keseluruhan bahagian, difahamkan sebanyak 143 bahagian meluluskan usul berkenaan.

Alasan usul ini lebih diterima ialah untuk mengelak perpecahan sesama sendiri dan risiko berlakunya khianat dalam pilihanraya kesan pertandingan dalam parti dapat dikurangkan.

Dengan itu bermakna, satu lagi usul iaitu mendesak agar pemilihan UMNO diadakan segera dan tempoh Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dilanjutkan sehingga akhir penggal Parlimen iaitu Jun 2023 telah gagal, tewas dan tidak mendapat sambutan.

Kelompok yang kuat mempromosi usul tersebut kluster menteri dalam UMNO, antaranya Annuar Musa dan Shahidan Kassim.

Malah bahagian Ketereh yang diketuai Annuar Musa yang mengadakan mesyuarat perwakilan pada Jumaat lalu adalah merupakan UMNO bahagian terawal meluluskan usul tersebut.

UMNO bahagian Bera yang dipimpin oleh Ismail Sabri, walaupun tidak mendesak pemilihan UMNO disegerakan, tetapi sebulat suara meluluskan usul agar Perdana Menteri diberi ruang meneruskan khidmat sehingga habis penggal Parlimen pada 2023.

Kelompok ini memberi alasan supaya pemilihan UMNO diawalkan dan PRU15 dilewatkan sehingga ke tahun 2023, selain untuk memberi ruang kepada Ismail Sabri melakukan lebih banyak kerja untuk rakyat atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, tujuan tersirat utama ialah untuk menonjolkan beliau melawan Zahid Hamidi sebagai Presiden parti.

Begitu pun, dengan perkembangan ini menunjukkan usul yang pro kepada pendirian Zahid Hamidi dan kepimpinan utama UMNO iaitu agar PRU15 disegerakan lebih diterima berbanding pendirian yang mahu pemilihan UMNO didahulukan.

Dalam erti kata lain, bukan saja kluster kabinet telah tewas dalam perjuangan awal mereka, malah Ismail Sabri juga dikira kalah kepada Zahid Hamidi.

Hakikatnya, tindakan UMNO Bahagian Bera yang meluluskan usul agar Ismail Sabri dilanjutkan tempoh kuasanya sehingga 2023 adalah sama dengan maksud mahukan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu.

Dengan kekalahan ini, sediakah Ismail Sabri akhirnya akur dengan kehendak akar umbi parti dan mengadakan PRU15 lebih dulu sebelum pemlihan UMNO?

Atau beliau akan terus berkeras melengah-lengahkan tarikh PRU15 sehingga ke tahun 2023 dengan semua langkahnya diketahui umum disokong kuat oleh kelompok kluster kabinet, Bersatu dan juga PN?

Antara Zahid Hamidi dan Ismail Sabri, siapa akan “meninggal” dulu? – ShahbudinHusin 20/12/2021.



No comments: