VIDEO DISERTAKAN : MP tuntut penjelasan menteri mengapa bantuan mangsa banjir lambat



Isu kelewatan operasi menyelamat mangsa banjir menjadikan dewan rakyat hari ini agak riuh apabila permasalahan itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu.

Sebilangan Ahli-Ahli Parlimen sewaktu persidangan menuntut penjelasan Kerajaan Persekutuan tentang bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Mohamad memberitahu beliau sendiri telah terkandas selama lapan jam di stesen minyak, menyebabkan beliau sendiri tidak dapat pergi membantu penduduk di kawasannya yang terjejas.

“Ramai nelayan ingin menawarkan bot-bot mereka untuk tujuan menyelamat. Tetapi bot nelayan tak sesuai untuk operasi sebegitu. Saya sendiri tersangkut lapan jam di stesen minyak. Ramai tanya mana wakil-wakil rakyat, tetapi kami sendiri pun terkandas.

“Di mana bot penyelamat dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan yang lain-lain?” soal bekas Menteri Pertahanan itu lagi,” soal beliau.

Bagaimanapun beliau percaya penjawat awam dan unit beruniform semuanya cekap dan penuh pengalaman namun mereka sukar dan lambat bekerja kerana lambat menerima arahan daripada atas.

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan juga meminta kerajaan untuk mendedahkan jumlah sebenar mangsa banjir yang layak untuk menerima bantuan yang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umumkan sebelum ini, dan bila mereka boleh menerimanya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu tidak dapat dibahaskan kerana tidak disenaraikan dalam Aturan Mesyuarat hari ini.

“Agenda kita hari ini adalah Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021. Saya mohon maaf, kalau Yang Berhormat mahu penjelasan dari menteri, terpulang kepada menteri untuk menghantar notis kepada saya.

“Kita tidak boleh melompat dari satu isu ke isu yang lain, tanpa mengambil kira isu utama dalam agenda kita. Itu adalah prosedur Parlimen,” katanya lagi.


No comments: