SKMM JANGAN ANTI DEMOKRASI, KRITIKAN BANJIR TIDAK GUGAT KESELAMATAN NEGARA

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyampaikan ucapan takziah buat 41 orang mangsa bencana banjir di seluruh negara dan sangat kesal dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan menangani krisis yang menyebabkan ramai yang tidak mendapat bantuan semasa dan pasca banjir.

Pakatan Harapan mendesak Kerajaan untuk bertindak lebih tegas dengan pemberian bantuan kewangan yang mesti melebihi apa yang diberi Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Kegagalan Kerajaan Persekutuan telah menerima kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter, khususnya para Menteri yang begitu layu dan lemah dalam respons menyelamat dan membantu mangsa sehingga diberi gelaran ‘pelancong banjir’.

Tindak balas Kerajaan Persekutuan atas kritikan-kritikan berasas ini bukan sahaja gagal meningkatkan mutu perkhidmatan para Menteri sebaliknya cuba menghukum dan menutup mulut rakyat.

Apakah kritikan-kritikan ini begitu menggugat keselamatan negara, sehingga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terpaksa meminta Twitter memadam kritikan para netizen ini?

Tindakan SKMM ini bersifat anti-demokratik dan mengingatkan kami tentang sifat kuku besi diktator yang pernah rakyat Malaysia lihat dahulu.

Kita tidak patut dan tidak boleh kembali ke zaman itu lagi, apatah lagi apabila negara sedang merangka masa depan yang berpaksikan digitalisasi dan teknologi maklumat yang lebih terbuka.

Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir.

Kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya.

Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera. Dalam era 5G yang bakal tiba, Kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai, dan tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang.

Akhir sekali, kami turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal buat semua rakyat Malaysia yang menyambutnya. Semoga tahun baru 2022 lebih baik buat kita semua.

Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

25 Disember 2021.


No comments: