Rakyat alami krisis, PH Johor tolak PRN

 

Kedudukan terkini DUN Johor ialah 28-27 selepas ADUN Kempas dari Bersatu meninggal dunia. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor menolak pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) pada waktu ini, kerana ia dilihat tidak sensitif memandangkan rakyat sedang mengalami krisis kesihatan Covid-19 dan ekonomi domestik.

Ketua Amanah Aminolhuda Hassan, Ketua PKR Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua DAP negeri Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama memaklumkan, PH Johor sebulat suara memberikan komitmen sepenuhnya dalam membela nasib rakyat, berbanding hal politik dan soal perebutan kuasa.

Mereka berkata, segala usaha, tenaga, komitmen dan dana harus disalur untuk membantu rakyat dalam kesusahan, walaupun kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini berada pada angka 28-27 selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Dis.

Semalam, Hasni dilapor berkata kerajaan negeri akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN, kerana mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

Kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi iaitu BN 16 kerusi, Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala PH pula 27 kerusi.

No comments: