Hasanuddin kata kerajaan lembab dalam menguruskan banjir

 

Panas! Hasanuddin kata kerajaan lembab dalam menguruskan banjir


Kerajaan dilihat tidak mempunyai pengalaman yang secukupnya dalam berdepan dengan situasi bencana alam.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berpendapat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih cekap dan berpengalaman menguruskan krisis sedemikian seperti yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Sehubungan itu, Hasanudin berkata, kerajaan perlu belajar daripada pihak yang lebih cekap menguruskan banjir.

“Saya berpendapat kerajaan belum ada cukup pengalaman urus bencana. Saya lihat NGO jauh lebih cekap terutamanya isu banjir kerana mereka ada pengalaman di Acheh dan negeri-negeri pantai timur,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata, meskipun NGO-NGO mempunyai pengalaman luas, namun kumpulan tersebut tidak mempunyai kuasa penuh untuk bertindak.

“(Justeru) kita mohon kerajaan belajarlah daripada pengalaman mereka (NGO)… mereka dapat bertindak lebih cepat,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, isu mengenai kerjasama pihak terlibat tidak timbul dalam perkara tersebut sebaliknya langkah tadbir urus yang perlu diberi penekanan.

Mengenai pasca banjir di Hulu Langat, beliau menjangkakan, sekurang-kurangnya tiga bulan masa yang diperlukan untuk keadaan kembali seperti sedia kala.

Keadaan itu, kata Hasnuddin, disebabkan kerja-kerja pembersihan yang memakan masa serta operasi mengalihkan kenderaan yang tersadai akibat banjir.

No comments: