Kerajaan Johor goyah, MB teliti keperluan adakan pilihanraya negeri

 


Gempar! Kerajaan Johor goyah, MB teliti keperluan adakan pilihanraya negeri


Reaksi parti yang bergabung membentuk kerajaan dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah perkara yang akan diteliti sebelum memutuskan sebarang keperluan pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Johor, kata Menteri Besar Hasni Mohammad.

Beliau berkata penelitian dan pemantauan itu perlu dilakukan susulan kedudukan kerajaan negeri yang kini berada dalam keadaan genting dengan hanya berkelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan yang ada ini bertambah tidak stabil dan saya sedang memantau sekiranya berlaku keadaan sedemikian. Dengan kematian Osman Sapian, menjadikan Johor tinggal satu majoriti sahaja.

“Maka dengan itu, perlu saya memahami reaksi khususnya parti-parti yang bergabung untuk tubuh kerajaan. Perbincangan atau perjumpaan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan Johor yang hari ini mempunyai majoritinya yang amat tipis,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Rabu lalu, Osman yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia 11.45 malam di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur.

Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menjadikan gabungan kerajaan yang terbentuk di Johor hanya mempunyai kelebihan satu kerusi DUN iaitu 28 berbanding 27 kerusi dimiliki Pakatan Harapan (PH).

Hasni yang juga Ketua UMNO Johor berkata, pihaknya juga akan melihat reaksi terkini ADUN Johor menerusi Persidangan Khas DUN yang diadakan pada 6 Jan ini.

Katanya, Sidang Khas DUN itu adalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 berkenaan meluluskan had usia pengundi dan calon kepada usia 18 tahun.

“Dengan keadaan negeri satu majoriti ini saya perlu melihat dan meninjau keadaan semasa. Sama ada kita nak buat Pilihan Raya Kecil (PRK), Speaker DUN sudah jelaskan tidak perlu kerana sudah melepasi tempoh tiga tahun.

“Jadi mengenai PRN, jika ada kemungkinan saya perlu melihat kepada keperluan tersebut berdasarkan reaksi dan keadaan terkini Johor.

“Kemungkinan mengadakan PRN ini saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana berlaku di Melaka atau Sarawak. Ini kerana selama tempoh hampir dua tahun ini kita telah menguruskan perjalanan DUN dengan baik malah berjaya menggubal beberapa dasar,” katanya.




No comments: