Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang hari ini turun padang meninjau harga barang di sini, mengakui terdapat peningkatan harga barangan keperluan harian ketika ini.
Namun, katanya kenaikan yang berlaku bukan berpunca daripada peniaga.
Beliau berkata situasi tersebut berlaku disebabkan kos yang ditanggung di pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga.
“Memang benar harga barangan keperluan naik ketika ini. Kenaikan ini bukan berpunca daripada peniaga dan pemborong. Saya lihat ia berpunca daripada rantaian bekalan.
“Sebagai contoh harga ayam. Penternak ada kos, kilang ada kos, pemborong ada kos. Jadi bila sampai kepada peniaga, harga sudah tinggi,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan di MyFarm Outlet Kasih di Putrajaya.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari penyelesaian terhadap situasi tersebut.
“Dalam masa sama, kita (kerajaan) kena lihat isu penglibatan orang tengah secara serius,” katanya.
Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.
“Untuk permulaan kita akan bawa masuk 200 kontena dahulu,” katanya dan menambah bahawa bekalan ayam sejuk beku import itu dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya minggu depan.
Ismail Sabri berkata harga ayam tempatan ketika ini dijual pada harga yang tinggi berbanding sebelum ini.
“Peningkatan harga ayam di pasaran sehingga RM9.80 sekilogram adalah di luar kebiasaan walaupun sebelum ini pernah cecah lebih RM10 sekilogram. Tetapi jarang berlaku, biasanya harga ayam sekilogram antara RM7 dan RM8,” katanya, memetik laporan Bernama.
Bagi isu bekalan ikan segar pula, Ismail Sabri berkata MAFI akan menghentikan sementara eksport ikan bagi memastikan bekalan itu mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga munasabah untuk pasaran tempatan.
“Kalau boleh kita hentikan sementara eksport ikan ke luar negara kerana yang penting ketika ini adalah rakyat. Kita tidak mahu rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan khususnya barang basah,” katanya.
Menurutnya, kaedah tersebut pernah dilakukan pada 2013 ketika beliau memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan bekalan ikan segar tempatan mencukupi dan dijual pada harga berpatutan.