Gabungan PKR-Amanah masuk akal, kata bekas ahli akademik

 


Gabungan PKR-Amanah masuk akal, kata bekas ahli akademik



Ada yang berpandangan Amanah tidak mempunyai sokongan akar umbi, manakala PKR sukar menarik pengundi Melayu, menurut ahli akademik.

PETALING JAYA: Gabungan antara PKR dan Amanah pasti memanfaatkan kedua-dua parti kerana mampu menarik undi orang Melayu luar bandar, kata seorang bekas ahli akademik.

Azmi Hassan bagaimanapun menambah ada kemungkinan perkara itu mendapat tindak balas negatif segelintir pemimpin PKR.

“Amanah mempunyai beberapa pemimpin yang boleh dipercayai seperti Dzulkefly Ahmad dan Raja Kamarul Bahrin yang mampu meraih sokongan pengundi luar bandar,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, ada yang berpandangan Amanah tidak mempunyai sokongan akar umbi, manakala PKR sukar menarik pengundi Melayu.

“Jika mereka bergabung, Amanah dapat menarik pengundi luar bandar yang tidak meminati pandangan keagamaan ekstrem PAS. Sejak dua tahun lalu, pengundi Melayu luar bandar melihat PAS, yang menjadi sebahagian kerajaan, tidak mampu mentadbir negara,” katanya.

Semalam, Anwar mendedahkan ada cadangan supaya PKR dan Amanah bergabung, namun setakat ini belum ada perbincangan secara formal.

Azmi berkata, Umno tidak akan berasa senang dengan gabungan PKR-Amanah kerana ia mampu menggugat undian parti itu di kawasan luar bandar.

Katanya, gabungan seumpama itu adalah wajar kerana dapat mengukuhkan kedudukan PKR dalam menghadapi sebarang tekanan daripada DAP. Ia juga akan mengurangkan isu berkaitan pembahagian kerusi, tambahnya.

Bagaimanapun beliau berkata, Anwar perlu bersedia untuk menghadapi tindak balas negatif pemimpin PKR yang mungkin bimbang Amanah akan mengaut kedudukan penting, contohnya jawatan timbalan atau naib presiden.

Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata, kedua-dua parti itu berdepan dilema sama dalam meyakinkan pengundi Melayu-Islam yang semakin konservatif untuk menyokong mereka.

Katanya, orang Melayu mempunyai pilihan antara Umno, PAS dan Bersatu di satu pihak, selain PKR yang liberal dan Amanah yang sederhana di pihak lain.

Beliau turut memberi amaran bahawa Anwar mungkin berdepan tindak balas negatif daripada penyokong bukan Melayu PKR, selain segelintir penyokong konservatif Amanah. Ini disebabkan ideologi berbeza dua parti berkenaan.

Sumber PKR memberitahu FMT bahawa gabungan seperti itu bagaimanapun mampu mengakibatkan perselisihan jika veteran parti yang menyokong Anwar sejak 1998 berasa diketepikan.

“Bagaimana dengan jawatan timbalan presiden? Adakah akan diberikan kepada veteran PKR atau pemimpin Amanah?” soalnya.

Tambahnya, keahlian Amanah kecil, manakala ahli Amanah dari beberapa cawangan di Kedah, Perak dan Johor telah menyertai PKR dalam tempoh setahun lalu.

Kata sumber itu lagi, wujud kebimbangan bahawa Amanah akan meminta kerusi boleh menang daripada PKR.

“Jika Amanah boleh menarik pengundi luar bandar, mereka tidak perlu bergabung dengan PKR. Jika mereka kuat, mereka boleh melakukannya sendiri.

“Gabungan berlaku apabila satu parti lemah dan di sini parti itu adalah Amanah. Adakah ia akan menerima gabungan itu tanpa membuat sebarang tuntutan?” soal sumber berkenaan.

PKR perlu mengadakan pemilihannya sebelum Mei 2023, namun desas-desus mengatakan pemilihan parti mungkin diawalkan ke tahun depan.

No comments: