Rizab simpanan tunai tertinggi, mengapa Sarawak paling banyak rakyat miskin?

 

Rakyat Sarawak seharusnya menjadi antara yang paling makmur di Malaysia kerana hasil bumi yang banyak termasuk gas asli, petroleum dan kayu balak.



Bagaimanapun, dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan mengesahkan Sarawak mempunyai insiden kemiskinan paling tinggi.



Hal itu, menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menimbulkan keraguan, ke manakah hasil kekayaan Sarawak selama ini dilonggokkan?



"Saya merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith pagi ini di Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan YB Nga Kor Ming.



"Dalam menjawab soalan itu, Timbalan Menteri mendedahkan negeri Sarawak antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia. Pendedahan ini bukanlah satu perkara baru.



"Umum mengetahui meskipun sudah sekian lama Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang didominasi oleh PBB, kadar kemiskinan di negeri itu tidak bertambah baik, malah kekal di tahap yang sama," kata Shamsul.



Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu tertanya tanya mengapakah Sarawak yang mempunyai rizab simpanan tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia, sebanyak RM31 bilion, tidak menggunakan dana berkenaan untuk membantu rakyatnya yang miskin.



"Amat menyedihkan buat rakyat Sarawak, di mana negeri ini mempunyai rizab simpanan tunai terbesar. Pendapatan negeri juga ketiga terbesar, di mana Sarawak menyumbang sebanyak 12% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



"Namun di mana silapnya dalam pengagihan kekayaan negeri ini kepada rakyat Sarawak?" tanyanya.



Lebih mengejutkan, kata Shamsul, ADUN ADUN Sarawak juga diberikan peruntukan pembangunan tahunan yang jauh lebih tinggi berbanding mana mana ADUN di Malaysia, malah melebihi peruntukan Ahli Parlimen.



Namun ke manakah perginya dana berkenaan kerana taraf hidup rakyat Sarawak kekal daif sejak berpuluh tahun.



"Peruntukan yang diterima setiap ADUN Sarawak antara yang tertinggi di Malaysia.



"Setiap wakil rakyat GPS menerima peruntukan tahunan sebanyak RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), RM1 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung Fasilitasi Pertanian.



"Adakah peruntukan yang diterima ADUN ini benar-benar sampai ke tangan rakyat untuk menikmati manfaatnya? Jika ya, mengapa Sarawak adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia," katanya lagi.

 

No comments: