Tinjauan dapati nama Adly lebih menonjol sebagai calon Ketua Menteri

 

Nama Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka dilihat lebih menonjol berbanding nama-nama dari parti lain yang turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Demikian pandangan Koordinator Penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid yang berkata, penilaian itu juga dibuat berdasarkan kepimpinan muda yang ditampilkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Yang paling menonjol antara ketiga-tiga parti itu sekarang adalah Adly Zahari itu sendiri. Kalau kita lihat, calon Ketua Menteri daripada PH ini, bukan Adly sahaja ditonjolkan tapi pasukan kepimpinan muda dalam PH itu juga ditonjolkan.

Menurut Fakhrurrazi, Adly dilihat lebih menonjol berbanding nama-nama dari parti lain yang turut dikaitkan dengan jawatan Ketua Menteri Melaka.

“Saya rasa ini menarik kerana inilah politik yang dimahukan anak muda. Mereka mahukan bukan saja kepimpinan sebagai individu tetapi sebagai berpasukan yang boleh terajui Melaka untuk lima atau 10 tahun akan datang,” katanya dalam Buletin AWANI Khas pada Isnin.

Menurutnya, golongan muda tidak begitu melihat kepada calon tetapi lebih menjurus kepada satu pasukan pemimpin yang mereka fikirkan terbaik untuk menerajui Melaka.

“Kalau kita lihat, PH, BN dan PN, mereka bukan sahaja ingin mencalonkan Ketua Menteri tapi pemimpin muda, barisan hadapan yang akan membantu calon Ketua Menteri mereka menerajui Melaka,” ujarnya.

Katanya lagi, anak muda ketika ini berdepan isu pendidikan, kesihatan serta ekonomi dan mereka memerlukan pemimpin yang boleh membawa aspirasi mereka ke hadapan.

“Pada waktu ini, mereka paling terkesan dan mereka boleh menilai sesuatu perkara itu berdasarkan dasar itu sendiri,” katanya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka tirainya pada Isnin dengan penamaan calon dijalankan pada pagi tadi, menyaksikan seramai 112 calon mendaftarkan nama untuk bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selepas lebih setahun tiada pilihan raya – kali terakhir PRN Sabah pada September 2020 – parti bertanding kini dilihat bersedia bertanding bagi membuktikan mereka masih relevan dan masih mendapat sokongan rakyat.

Menariknya, semua parti bahkan Barisan Nasional mempertaruhkan ramai muka baharu termasuk calon muda sebagai tarikan untuk menambat hati rakyat Melaka.

No comments: