Berbeza
dengan pilihan raya terdahulu, parti-parti politik berlumba-lumba meletak muka
baharu dan tidak kurang juga mempertaruhkan calon muda bagi pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November.
Lebih menarik lagi, PRN Melaka juga
memperlihatkan lebih ramai calon masuk bertanding berbanding Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) sebelum ini apabila seramai 112 orang masuk berbanding hanya 85
calon.
Pilihan Raya ini juga menampilkan lebih
50 peratus calon muda iaitu seramai 65 orang berusia antara 21 hingga 49 tahun
manakala baki 47 calon berusia 50 hingga lebih 60 tahun selain mempertaruhkan
16 calon wanita dan 96 calon lelaki.
Calon termuda Perikatan Nasional (PN),
Fong Khai Ling berusia 27 tahun akan bertanding buat kali pertama di kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana.
Ling
semasa ditemui Agenda Daily memberitahu mahu menawarkan pengalaman dan
kepakaran dimilikinya bagi menyumbang khidmat bakti kepada rakyat di Kota
Laksamana dan berharap diberikan peluang untuk membuktikannya.
“Saya ada
pengalaman dan kepakaran yang boleh menyumbang kepada rakyat di Kota Laksamana.
“Berilah peluang
kepada saya untuk berkhidmat di Kota Laksamana dan undilah saya calon nombor
1,” katanya.
Ling berkata
memilih Parti Gerakan sebagai platform politiknya kerana imej bersih dan
berintegriti parti tersebut menyebabkan berminat untuk menyertai perjuangan
parti tersebut.
Berpendidikan
MBA dari Universiti Sunderland itu sangat mengharapkan PRN Melaka akan dapat
memberinya pengalaman berharga dan jika diberikan peluang berjanji akan
memberikan yang terbaik kepada pengundi Kota Laksamana nanti.
Sementara itu,
seorang lagi calon termuda dalam PRN Melaka adalah berusia 21 tahun, Farzana
Hayani Mohd Nasir di DUN Sungai Rambai atas tiket Pakatan Harapan (PH).
“Sejujurnya saya
tidak pernah terfikir akan dipilih menjadi calon untuk bertanding, namun telah
sangat-sangat ready (bersedia) untuk membantu rakyat dan masyarakat di negeri
Melaka,” katanya dipetik laporan Bernama.
Ketua Srikandi
Keadilan Melaka itu menegaskan antara isu yang akan beliau diberi perhatian
serius jika menjadi wakil rakyat ialah meningkatkan capaian Internet di seluruh
negeri Melaka bagi memudahkan pendidikan dan menggalakkan rakyat menceburi
bidang keusahawanan secara dalam talian.
Farzana berkata
sebagai pelajar, beliau merasa peritnya dengan gangguan Internet ketika sedang
mengulang kaji pelajaran.
“Sebagai
mahasiswi saya sangat pentingkan rangkaian Internet kerana pengalaman sebagai
pelajar di rumah, ia sangat penting untuk keluarga yang mempunyai anak-anak
bersekolah terutama di kawasan Sungai Rambai.
Farzana
merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah
Alam dan juga lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, universiti sama.
Bagaimanapun,
nasib kurang baik dihadapi seorang lagi calon muda mewakili Barisan Nasional
(BN) di kerusi DUN Kesidang, Leong Hui Ying yang berusia 29 tahun apabila
menjadi mangsa video tular sehingga didakwa tidak fasih bertutur bahasa
kebangsaan.
Menerusi satu
rakaman pendek, calon BN berusia 29 tahun itu menjelaskan apa yang berlaku
berdasarkan rakaman temu bualnya yang memaparkan beliau ‘terpinga-pinga’ dan
tidak dapat menjawab soalan ketika ditemu bual oleh wartawan.
Wakil daripada
parti MCA itu berkata, beliau boleh berbahasa Melayu, namun ketika kejadian
terdapat sedikit masalah sehingga perkara berkenaan timbul.
Justeru, beliau
meminta agar masyarakat di Kesidang, terutama pengundi tidak salah faham
mengenainya dan terus memberi sokongan kepadanya.
“Jadi saya
berharap, masyarakat di Kesidang, terutama pengundi tidak salah faham
mengenainya dan berikan sokongan kepada saya,” katanya.
Terdahulu, tular
di media sosial calon daripada itu yang tidak boleh bertutur dalam bahasa
kebangsaan, berdasarkan video yang berdurasi 58 saat tersebut, Leong ditanyakan
beberapa soalan dalam bahasa Melayu oleh pengamal media namun tidak dapat
dijawab.
Ketiga-tiga
calon muda ini kali pertama bertanding atas tiket parti masing-masing, namun
adakah mereka mampu mengatasi lawan calon lain yang lebih berpengalaman pada
PRN Melaka kali ini.
Dengan tamatnya
proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di 28 kerusi DUN di negeri ini yang
berlangsung dalam suasana norma baharu, maka tempoh berkempen sudah bermula
sehingga 11.59 malam, 19 Nov ini.
Tidak seperti hari
penamaan calon sebelumnya, tiada suasana seperti karnival kerana perarakan dan
perhimpunan ramai tidak dibenarkan di bawah SOP yang dikeluarkan SPR.
BN, PN dan PH
masing-masing mempertaruhkan 28 calon, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia
(Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas
(22) pada PRN ini.
Selain itu, dua
fakta menarik yang dapat dilihat pada pilihan raya ini ialah buat kali kedua
satu pilihan raya negeri diadakan di Semenanjung secara bersendirian tanpa
bersekali dengan pilihan raya umum selepas suatu Pilihan Raya Dewan Undangan
Negeri Kelantan telah diadakan pada 11 Mac 1978.
PRN ini juga
menyaksikan PAS bertanding menggunakan logo gabungan PN selepas buat kali
pertama menggunakan panji-panji BN pada 1974.